Saksi Mengaku Mengunakan Cap Tandatangan Zahid Untuk Bayar Bil

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu saksi mengaku telah mengunakan cap yang mempunyai replika tandatangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kredit.

Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly berkata, cap itu akan digunakan semasa Zahid tiada di pejabat, menghadiri mesyuarat atau di luar negara.

“Saya mula menggunakan cap yang mempunyai tandatangannya pada cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kredit,” kata saksi ke-90 itu dalam kenyataannya.

Wanita itu berkata, beliau tidak pernah menggunakan cap itu untuk kepentingan peribadi.

Mazlina berkata, beliau menggunakan cap itu pada cek ketika berkhidmat kepada tertuduh di Kementerian Dalam Negeri.

Saksi itu, yang merupakan pegawai tentera, bekerja untuk Zahid sejak Disember 2011 apabila beliau menjadi menteri pertahanan.

Beliau menjadi setiausaha eksekutifnya selepas mengambil alih jawatan itu daripada Rosiah Othman.

Katanya, beliau terus berkhidmat untuk Zahid, yang dilantik sebagai menteri dalam negeri pada 2013 dan timbalan perdana menteri pada Julai 2015.

“Saya berkhidmat untuk Zahid selama 7 tahun dan 9 bulan sehingga Mei 2018, apabila berlaku pertukaran kerajaan.”

Mazlina berkata, beliau menggunakan cap itu untuk menandatangan cek bagi membayar bil kad kredit kerana bimbang bank akan menyekat transaksi Zahid dan isterinya, Hamidah Khamis, terutamanya semasa mereka di luar negara.

“Untuk mengelakkan sebarang kesulitan kepada pasangan itu, saya meminta kebenaran beliau untuk menggunakan cap itu dan beliau kata okey.”

Katanya, beliau hanya menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membuat bayaran kad kredit, bukannya cek peribadi Zahid kerana tiada arahan daripadanya.

Ketika disoal lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Mazlina berkata, beliau tidak pernah menerima arahan daripada Hamidah untuk mengeluarkan cek.

Zahid menghadapi 12 pertuduhan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah dan 27 dakwaan pengubahan wang berjumlah RM117 juta milik Yayasan Akalbudi.

Pendengaran di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat