UMNO & PERJUANGAN BANGSA MELAYU: ANTARA AKAL & NAFSU

- Advertisement -

Oleh: DATUK ZAKARIA DULLAH

Selepas kekalahan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO selaku “parti tulang belakang” pada Pilihan Raya UMUM ke-14 dua tahun yang lalu; ramai pihak dan pemerhati politik Malaysia berpendapat bahawa UMNO selaku sebuah parti politik yang sinonim dengan perjuangan bangsa Melayu di negara ini, dilihat tidak lagi relevan dan bukan lagi dianggap sebagai parti politik pilihan popular bangsa Melayu. Persepsi dan pernyataan tersebut ada asas serta kredit yang signifikan.

Jika dilihat semata-mata kepada keputusan PRU-14, tidak dapat disangkal, bahawa UMNO yang menerajui Barisan Nasional telah ditolak buat pertama kali dalam konteks perkembangan politik Malaysia semenjak tahun 1955 (era UMNO & Perikatan) dan kemudiaannya 1974 (era UMNO & Barisan Nasional). Namun, jika dilihat dan dinilai dalam konteks yang lebih menyeluruh secara jajaran sejarah dan terkini, UMNO selaku parti politik yang memperjuangkan Bangsa Melayu tampaknya masih relevan, lantas mendangkalkan pendapat dan pernyataan yang menyatakan bahawa UMNO pasca PRU14 tidak lagi relevan buat menerejaui kepentingan sosio-politik dan ekonomi Bangsa Melayu di negara ini.

Perkembangan politik pasca PRU14 melalui beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) seperti PRK Cameron Highland, PRK Semenyih, PRK Tanjong Piai, PRK Slim, yang dimenangi oleh samada wakil dari UMNO atau yang diterajui oleh calon yang berasaskan kerjasama UMNO-Barisan Nasional, menunjukkan malah boleh dinyatakan sebagai membuktikan bahawa UMNO selaku parti politik yang memayungi perjuangan Bangsa Melayu dan peneraju kepada kepimpinan politik Malaysia masih diterima dan tetap relavan dalam konteks perkembangan dan pembangunan politik Malaysia pasca PRU14.

Kesedaran dan ketaksuban yang dipandu oleh “akal” untuk melihat penyatuan dan pertautan dalam kalangan Bangsa Melayu telah menggerakkan akar-umbi Melayu, khususnya dalam kalangan ahli UMNO bangkit menggerakkan usaha yang disbeut sebagai “Penyatuan Ummah”; yang kemudiaannya ditandai dengan kejayaan memeterai apa yang disebut “Muafakat Nasional” antara dua parti besar Bangsa Melayu iaitu UMNO & PAS dan kemudiaanya diperluaskan dalam wahana yang dikenali sebagai Perikatan Nasional yang turut merangkumi Parti PriBumi Bersatu Malaysia (PPBM). Kejayaan menggerakkan agenda

“Penyatuan Ummah”, “Muafakat Nasional” dan seterusnya diterjemahkan kepada kewujudan “Perikatan Nasional”, perlu dilihat sebagai kerelevanan UMNO selaku wadah perjuangan Bangsa Melayu masih tetap utuh dan signifikan. Mengapa saya berpendapat demikian? UMNO selaku wadah perjuangan Bangsa Melayu punya sejarah yang bukan kecil dalam konteks pembinaan negara-bangsa Malaysia. UMNO selaku organisasi politik, punya sejarah yang sangat besar dan peranan yang begitu subtantif dalam memerdekakan Tanah Melayu dan kemudiaannya upaya membangun Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan.

Keupayaan dan kerelevanan UMNO selaku “parti tulang belakang” kepada pembangunan Malaysia pasca merdeka sangat terkait dengan watak-watak kepimpinan yang ada dalam kalangan kepimpinan UMNO itu sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui sejarah pembentukan UMNO pada tahun 11 Mei 1946 itu sendiri. Perlu diulang-ingat (kerana dinyatakan bahawa Melayu itu Mudah Lupa), bahawa UMNO itu terbentuk melalui penyatuan kepelbagaian organisasi sosio-politik Bangsa Melayu itu sendiri.

Watak kepimpinan Melayu yang berjiwa besar serta mengutamakan akal dalam menukilkan kepentingan Bangsa Melayu di tanah tumpah darah sendiri, akhirnya membawa kepada penyatuan perjuangan Bangsa Melayu di dalam satu “bahtera” yang dikenali sebagai UMNO (United Malays National Organisation) atau Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR).

Berpaksikan “akal” dengan dipacu oleh “jiwa besar” serta “keikhlasan” yang luhur, telah memandu corak dan watak kepimpinan UMNO; yang kejayaan unggulnya terhasil dengan MEMERDEKAKAN Persekutuan Tanah Melayu dari penjajahan Bangsa Inggeris. Gabungan antara elemen “akal”, “jiwa besar” & “keikhlasan”, telah dalam banyak aspek melahirkan “ketaksuban” kepimpinan dan ahli dalam “bahtera” perjuangan UMNO untuk kepentingan Bangsa Melayu di negara ini selama enam dekad yang lalu, yang akhirnya banyak menyumbang kepada bukan sahaja kejayaan Bangsa Melayu semata-mata, tetapi juga bangsa-bangsa lain yang ada di bumi Malaysia.

Ketaksuban yang berpaksikan “akal” jelas merupakan “khazanah” tinggalan kepimpinan terdahulu UMNO dalam memastikan matlamat perjuangan Bangsa Melayu itu bukan sahaja terbela tetapi kekal menjadi pasak utama penyatu bangsa dan kesepaduan warga Malaysia.

Ambil contoh perjuangan Mustapha Hussain (1910-1987) sebagai pedoman, anak kelahiran Matang, Taiping, Perak yang tanpa mengenal jerih-perih serta kepayahan berjuang dengan akal-budi dan kebijaksanaan untuk kesejahteraan bangsa Melayu, yang sebenarnya sangat berperanan besar dan bertanggung jawab dalam pembentukan UMNO sebagai sebuah organisasi politik di negara ini.

Demikian juga dengan seorang lagi sosok perjuangan UMNO iaitu Garieb Rouf, anak kelahiran Batu Pahat, kerana perjuangan yang tidak berbelah bagi terhadap nasib bangsa Melayu yang diperjuangkan oleh beliau, mendapat kecemburuan politik yang sangat jahat dari penjajah Inggeris; yang akhirnya atas nama kebaikan keluarga; keluar meninggalkan Batu Pahat dan meneruskan perjuangan Bangsa Melayu di Kota Jakarta dengan menubuhkan cawangan UMNO di sana pada 1950an.

Kedua tokoh tersebut berjuang atas nama “Bangsa Melayu” dengan berbekalkan “akal-budi” dan “kebijaksanaan” untuk kesejahteraan Bangsa Melayu, tanpa sedikitpun memperoleh ganjaran “nafsu” dari perjuangan mereka; mereka berjuang atas “jiwa Melayu” yang luhur dengan matlamat untuk melihat bangsa mereka tidak umpama “melukut ditepi gantang” di Tanah Watan Tumpah Darah nenek moyang.

Keinginan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa Melayu yang berpaksikan kepada “akal-budi” dan “kebijaksanaan” sering-kali di bayangi oleh perjuangan bangsa yang pebuh dengan “kepalsuan”, “kosmetik”, “kebatilan” yang di tatang dengan paksi “nasfu”; telah dalam banyak situasi “meruntuh” dan “merentan” perjuangan bangsa melayu yang berpaksikan “akal-budi”. Watak-watak “antogonis” seperti yang dinyatakan di atas wujud dalam setiap detik, setiap denyut, setiap ruang waktu perjuangan ketamadunan bangsa Melayu.

Watak “Mendaliar” sangat sinonim dengan “musang berbulu ayam” yang menyumbang kepada keruntuhan Kesultanan Melaka kepada Bangsa Penjajah Portugis.

Watak-watak seumpamanya itu lah juga yang telah menyebabkan UMNO diharamkan pada tahun 1988; yang akhirnya membawa kepada episod perpecahan kesatuan dalam gagasan UMNO selaku “bahtera pelindung dan payung kesejahteraan” bangsa Melayu di bumi Malaysia; perp

ecahan menjadi semakin parah pada tahun 1998, yang juga sangat terkait dengan kewujudkan watak-watak “antogonis” dalam bahtera perjuangan Bangsa Melayu. Tanpa perlu berselindung, watak-watak tersebutlah yang menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional pimpinan UMNO dalam Pilhan Raya UMUM ke-14 tahun 2018 yang lalu; watak-watak tersebut dengan prinsip perjuangan yang penuh dengan “kepalsuan” yang dituntun oleh “nafsu” telah “menenggelamkan” bahtera bangsa Melayu yang memimpin negara semenjak 60 tahun yang lalu.

Justeru, bersempena dengan Persidangan Agong UMNO 2020 (PAU) yang bakal berlangsung pada 27 & 28 Mac 2021, wajib diambil kesempatan oleh kepimpinan UMNO untuk mengangkat kembali watak perjuangan yang berlandaskan kepada “ketaksuban akal” seperti mana yang telah dididik oleh kepimpinan terdahulu. Para perwakilan UMNO perlu menjadikan PAU 2020, sebagai gelanggang untuk mencorak hala tuju UMNO dalam kerangka “ketaksuban akal”, bukannya berbicara dan berhujah isu-isu “nafsu” yang bersifat remeh-temeh.

Dalam konteks inilah saya melihat sayap kepimpinan Pemuda UMNO dan juga sayap kepimpinan PUTERI, selaku generasi penerus perjuangan Bangsa Melayu mendatang, perlu menjadikan PAU 2020, sebagai pentas untuk mereka menonjolkan watak kepimpinan UMNO berasaskan “ketaksuban akal” dengan menggaris isu perbincangan dan perdebatan perjuangan Bangsa Melayu yang sejajar dengan era Revolusi Industri 4.0 dengan focus utama kepada agenda “Penyatuan Bangsa Melayu”.

Agenda Penyatuan Bangsa Melayu yang telah tandai dengan gerakkan momentus “penyatuan ummah”, “muafakat nasional” serta “perikatan nasional”, perlu diangkat setinggi mungkin oleh kepimpinan sayap pemuda dan puteri UMNO. Mengapa? Ini kerana ketiga-tiga momentus tersebut terbentuk dan terhasil dari kesedaran ketaksuban “akal” mengenai peri pentingnya “penyatuan bangsa Melayu” dalam mendepani masa depan yang semakin mencabar bagi kelangsungan Bangsa Melayu itu sendiri.

Jika watak dan sikap ini dapat ditonjolkan oleh kedua-dua sayap tersebut sewaktu PAU 2020 berlangsung, saya percaya ia bakal memberikan “signal” yang sangat positif terhadap anak muda di luar UMNO dalam menilai corak dan watak hala tuju kepimpinan UMNO selaku “Abang Long” kepada perjuangan Bangsa Melayu di negara ini.

Sekiranya watak “ketaksuban akal” dan “penyatuan” Bangsa Melayu, dapat mewarnai PAU 2020 hujung minggu ini, saya percaya proses perundingan untuk “menyatukan” Bangsa Melayu ke bawah satu wadah perjuangan yang “utuh” bakal disambut oleh kepimpinan Melayu yang berada di luar UMNO, khususnya PPBM & PAS dengan lebih konkrit.

Ini sangat penting untuk UMNO dalam mendepani PRU15, UMNO dalam keberadaannya masa kini, secara peribadi saya melihat tidak mampu untuk “mendayung” bersendirian dalam berhadapan dengan “ombak” dan “gelombang” yang sangat kompleks untuk diharungi. Dalam saat dan masa yang sama, kepimpinan Melayu dari PPBM dan PAS juga perlu bersikap “jiwa besar” dengan “akal-budi” yang luhur dalam memastikan agenda “penyatuan Bangsa Melayu” pasca PRU14 dapat direalisasikan.

Sikap-sikap “bermuhasabah”, “bermuafakat”, “bertolak-ansur” dalam kalangan kepimpinan Melayu pasca PRU14 penting bagi memastikan keberadaan Bangsa Melayu itu kekal seperti mana ungkapan Laksamana Hang Tuah iaitu “tak akan Melayu hilang di dunia”.

Akhir kalam, PAU 2020 pada 27 & 28 Mac nanti, merupakan “pentas” yang sangat tepat untuk UMNO menonjol kembali sebagai sebuah “bahtera” politik Bangsa yang BERWIBAWA bukan sahaja untuk Bangsa Melayu tetapi juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

Batu asas penyatuan perjuangan Bangsa Melayu yang telah dibina melalui gerakan “penyatuan Ummah”, “Muafakat Nasional” dan kemudiaannya di institusikan dengan nama “Perikatan Nasional”, bukan sahaja perlu dipertahankan oleh semua Bangsa Melayu samada dari kalangan pemimpin atau pengikut, malah yang lebih penting perlu didakap sebagai “saat sejarah penting” dalam kebangkitan semula perjuangan Bangsa Melayu.

Jika ketaksuban akal yang menjadi pilihan maka WIBAWA akan terserlah dengan sendirinya; namun jika ketaksuban-nafsu yang diserakah, natijahnya bak kata bidalan lama “YANG DIKENDUNG KECICIRAN, YANG DIKEJAR TIDAK DAPAT”, “YANG MENANG MENDAPAT ARANG, YANG KALAH MENJADI ABU”.

Asas kebangkitan semula telah dibina melalui kesedaran ketaksuban akal, kini pilihannya adalah ditangan KITA.Jika kita tidak ingin melihat Bangsa Melayu umpama “MELUKUT DI TANAH WATAN” maka bersidanglah dengan “akal” bagi tujuan “kebijaksanaan” untuk kepentingan dan kelangsungan perjuangan bangsa Melayu yang lebih luhur. –SuaraTV

Sekian terima kasih & SELAMAT BERSIDANG.

Penulis ialah Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat