Penganalisis Ekonomi Anggar Negara Rugi RM15 Bilion Akibat Banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bencana banjir yang melanda beberapa negeri termasuk di Lembah Klang beberapa hari lalu dianggarkan mengakibatkan kerugian sebanyak RM15 bilion kepada ekonomi negara setakat ini.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata untuk Selangor, hampir 50,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengalami kerugian antara RM10,000 ke RM100,000 atau secara puratanya RM50,000, menjadikan anggaran kerugian di negeri itu saja adalah RM2.5 bilion.

“Ini tidak termasuk lagi kerugian harta benda isi rumah dan infrastruktur yang belum lagi dinilaikan seperti jambatan runtuh, kerosakan jalan raya rosak dan sebagainya.

“Jika dilihat banjir besar di Kelantan pada tahun 2015, kerugian harta benda dan infrastruktur melebihi RM1 bilion dan kini banjir di Lembah Klang yang mempunyai kepadatan penduduk lebih tinggi, pastinya kerugian adalah berlipat ganda.

“Anggaran kerugian akibat banjir setakat ini ialah RM15 bilion. Kiraan ini dibuat berdasarkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNJ) negara iaitu kira-kira RM1.5 trilion didarabkan dengan peratusan sumbangan KDNK Selangor dan Pahang iatu kira-kira 35 peratus sepanjang tempoh 10 hari banjir berlaku,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, banjir yang berlaku sekarang ini memberikan tekanan kepada ekonomi yang baru beransur-ansur pulih apatah lagi ia terjadi di Selangor, iaitu negeri penyumbang terbesar kepada KDNK negara, iaitu sekitar 30 peratus.

“Malah, kawasan yang mengalami banjir adalah kawasan perindustrian seperti di Klang dan Puchong yang adalah sebahagian utama daripada rangkaian nilai bekalan negara. Ramai pekerja yang tinggal di kawasan ini turut terjejas dan memerlukan beberapa minggu untuk kembali kepada aktiviti harian yang normal.

“Pahang, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia pula sedang mengalami banjir yang paling teruk sekali, malah hujan yang berterusan di Pantai Timur ketika musim tengkujuh ini amat merisaukan penduduk di negeri Kelantan, Terengganu dan daerah Johor Timur,” katanya.

Sementara itu, kaji selidik segera yang dibuat oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dari 22 hingga 24 Disember lalu ke atas 92 ahlinya yang terkesan oleh banjir mendapati, anggaran awal kerosakan akibat bencana alam itu adalah kira-kira RM178.62 juta.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata, terdapat kerosakan besar kepada harta, aset dan produk ahli persekutuan itu memandangkan kawasan tumpuan perindustrian di Shah Alam dan Klang adalah paling teruk terjejas Sabtu lalu.

Katanya, musibah itu turut mengakibatkan gangguan kepada operasi pengeluaran serta rantaian bekalan banyak kilang yang terletak di Selangor dan Pahang.

“Kami menjangkakan kerugian itu akan bertambah apabila syarikat-syarikat yang terbabit hanya akan dapat menilai kerosakan sebenar selepas banjir surut,” katanya dalam satu maklum balas kepada BH.

Beliau berkata, berikutan jangkaan kerugian terhadap aset dan harta, industri pengilangan merayu kepada kerajaan supaya melanjutkan tempoh moratorium sehingga tiga bulan bagi industri yang terkesan oleh banjir.

“Selain itu, kami menggesa kerajaan supaya menyediakan geran atau pemotongan cukai berganda ke atas perbelanjaan baik pulih atau penggantian jentera yang rosak, selain pembaikan harta,” katanya.

Keadaan banjir di Lembah Klang bermula Jumaat lalu, terutama Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bertambah.

Hujan berterusan kadang kala lebat selama dua hari di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di beberapa jalan utama yang dinaiki air.

Situasi di negeri lain yang mengalami banjir seperti Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Kelantan turut menyaksikan pertambahan mangsa yang dipindahkan ke PPS susulan air banjir belum surut berikutan hujan berterusan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat