KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa memilih untuk tidak membalas ‘serangan’ Datuk Dr Puad Zarkashi berhubung isu menjadi jurucakap Bersatu kerana beliau memegang prinsip tidak gemar serang menyerang sesama sendiri.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) sebaliknya menyatakan beliau tiada vendetta atau dendam kepada sesiapa.
Annuar memberitahu, “walaupun rasa sedikit terhina, tidak mengapalah,sudah adat kita berpolitik.
“Ada pihak yang meminta saya ulas terjahan rakan-rakan terhadap saya, khususnya dari Selatan.Saya ramai rakan di sana. Negeri dan individu yang saya pandang tinggi.
“Lagipun mereka itu individu yang jauh lebih hebat daripada saya,yang dikira sudah “mati”. Saya percaya mereka jujur dan akan terus menghidupkan perjuangan parti.
“Saya kekal dengan cara saya Insyaallah,” catat Annuar di Facebooknya.
Dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Ketereh itu turut memberi respons terhadap poster palsu yang mendakwa beliau telah ‘berhijrah’ menyertai Bersatu.
“Seronok juga tengok poster palsu yang dibuat pihak tertentu (yang saya tahu sumbernya). Mereka itu golongan yang percaya fitnah boleh menjayakan mereka.Saya tidak percaya fitnah boleh membawa kita kepada kejayaan.
“Saya memilih untuk berkata benar dan berterus terang.Mungkin saya mudah disalahertikan .Tidak mengapa.Kebenaran kadang kala memerlukan masa.
“Saya faham semua orang ikhlas nak UMNO berjaya,cuma cara mungkin berbeza.Kita raikan perbezaan itu.Saya tidak semestinya betul,” jelasnya.
Menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan, hatinya kuat mengatakan bahawa UMNO wajar memperkasakan politik kerjasama (taawun) dan wujud bersama (taayush) seperti yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW.
“UMNO juga perlu menjuarai penyatuan ummah, UMNO perlu mempertahan kuasa yang berada di tangan kelompok teras, yakni orang Melayu Pribumi dan Bumiputera.
“Pada masa yang sama mengekalkan kebijaksanaan Melayu untuk taayush dalam masyarakat majmuk.Sederhana,toleren,dan memimpin ummah.Ini juga yang diamalkan di Daulah Islamiah yang pertama Madinatul Munawwarah oleh Baginda Rasulullah SAW.
“Berunding sesama Islam itu wajib.Bermuafakat itu suatu kebijaksanaan,bukan kelemahan,” kata Annuar.
Beliau berkata, “kita kini mengendong kuasa, selepas 22 bulan diuji dengan kejatuhan.
“Allah selamatkan kita dengan cara yang tak terfikir pun oleh kita. Dengan hanya 39/222 kerusi, kita kembali di tampuk kuasa. Ia satu rahmat yang amat besar.
“Saya doakan agar kita tidak menjadi “yang dikejar,kejar tak dapat, yang dikendong jatuh berciciran,” ujarnya.