Pelajar Universiti Upah Sindiket Siapkan Tugasan?

- Advertisement -

PETALING JAYA: Segelintir pelajar universiti dikesan tergamak menghabiskan ratu­san ringgit bagi mengupah ‘sin­diket’ bagi menyiapkan tugasan pengajian yang diberikan pensyarah kerana tidak mahu bersusah-payah.

Memang diakui taktik digunakan pelajar terlibat bukan se­suatu yang baharu, tetapi perbuatan tidak bermoral itu jika tidak ditangani segera, bakal men­jadikan negara melahirkan graduan tanpa etika dan tidak berkualiti.

Malah dikhuatiri jika seseorang graduan yang memili­ki ijazah secara ‘mengupah sin­diket’ ini memasuki alam pekerjaan, ia bakal memberi impak negatif terhadap syarikat dan ekonomi kerana mereka tidak mampu menunjukkan kemampuan dan prestasi sebenar.

Semua jalan mudah untuk mendapatkan ijazah mahupun di­ploma berlaku apabila wujud­nya kegiatan menawarkan ‘upah membuat tugasan’ yang boleh dicari dalam media sosial selain pihak berke­naan mengaut keuntungan menerusi caj bayaran dikenakan ke­pada pelajar yang ‘pemalas’ terbabit.

Malah sindiket berkenaan di­­li­hat berani mengiklankan ke­gia­tan mereka mengambil ‘upah membuat tugasan’ di media sosial secara terbuka.

Sindiket itu juga tergamak mempromosikan bahawa`kerja mereka’ kononnya menjamin pelajar berkenaan mendapat markah tinggi.

Tinjauan dan penyamaran Utusan Malaysia di media sosial mendapati terdapat pihak yang didakwa berbuat demikian dengan menawarkan perkhid­matan menyiapkan tugasan seperti tesis, kertas kerja dan kuiz dengan mengenakan caj tertentu.

Caj-caj ditetapkan setelah mengambil kira bilangan muka surat dan tarikh akhir tugasan dihantar. Pendek kata lagi ba­nyak muka surat dan perlu cepat disiapkan, maka caj dikenakan akan lebih tinggi.

Wartawan Utusan Malaysia cuba menjejaki dua pihak yang terlibat dalam kegiatan tersebut dan mereka mengenakan bayaran sekitar RM240 hingga RM320 bagi kertas kerja setebal 10 muka surat dan perlu disiap­kan dalam tempoh seminggu.

Terlebih dahulu mereka akan meminta tajuk kertas kerja dan tarikh akhir tugasan perlu di­serahkan kepada pensyarah.
“Saya ambil RM320,” kata­nya dengan ringkas dan meminta deposit dibayar lebih awal.

Hasil penyamaran kedua pula, seorang lagi pihak me­ngenakan caj RM240 untuk tugasan berkenaan.
“Nak tengok soalan boleh,” ujarnya sebelum memberikan kadar caj yang bakal dikenakan.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, aktiviti ‘upah buat tugasan’ sememangnya menyalahi etika serta tidak berintegriti.

Beliau berkata, tindakan tatatertib boleh dikenakan ke atas pelajar dan pelajar terbabit perlu diberi gred E bagi kursus terlibat selaras dengan Kaedah Tatatertib dan Keputusan Se­nat ke-278 UKM.

“Kesemua perlakuan di atas boleh terjadi dengan mudah sekiranya para pelajar tidak menyediakan tugasan mereka sendiri dan ini semestinya menyalahi undang-undang universiti.

“Sekiranya pelajar tertangkap oleh pensyarah serta aduan dikemukakan kepada pihak Pusat Pengurusan Akademik UKM tentang pemalsuan tugasan ini, tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Justeru, Mohd. Ekhwan berkata, UKM telah menggariskan Hasil Pembelajaran Kursus (HPK) yang dipetakan seiring dengan Hasil Pembelajaran Program (HPP) dan kemudian dijajarkan dengan kaedah pe­ngajaran dan pentaksiran yang spesifik.

Katanya, tugasan yang diberi juga adalah sebahagian daripada pentafsiran yang biasanya kita tetapkan pada awal semester.
“Para pelajar kebiasaannya sudah mengetahui tentang tugasan yang diberi sejak awal lagi. Mereka seharusnya mempunyai masa yang cukup untuk menyiap­kannya. Jadi amalan ‘upah buat tugasan’ ini seharusnya tidak wujud,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pembentangan tugasan adalah antara kaedah untuk mengenal pasti jika tugasan tersebut disiapkan oleh pihak lain.

Katanya, pensyarah boleh mengetahui sama ada pelajar berkenaan benar-benar me­lakukan tugasan diberikan atau dilakukan oleh pihak ketiga.

“Oleh sebab itu, setiap pelajar sarjana dan doktor falsafah perlu ada pembentangan atau viva di akhir semester untuk menilai keupayaan dan pemahaman mereka terhadap setiap tesis yang disiapkan.

“Jika dia gagal dalam penilaian itu, ia bermakna tugasan itu dilakukan oleh orang lain,” katanya.

Selain menyifatkan ‘upah tugasan’ sebagai tidak beretika, Mohammad Shatar membe­ritahu, perbuatan itu menghakis pembudayaan ilmu sekali gus merosakan aspek pembinaan pengetahuan rakyat.

– UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat