TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penggunaan teknologi dron serta pembangunan bidang geospatial dalam pengurusan kampus dan pembangunan modal insan negara.
Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff berkata kerjasama strategik itu membolehkan universiti memanfaatkan kepakaran INSTUN dalam bidang ukur, pemetaan dan teknologi geospatial untuk memperluaskan penggunaan dron dalam pelbagai aspek pengurusan kampus.
Menurut beliau, penggunaan teknologi dron mampu meningkatkan kecekapan pemantauan kawasan kampus yang luas selain mengurangkan kebergantungan kepada anggota keselamatan bagi melaksanakan tugasan tertentu dengan lebih pantas dan berkesan.
“UPSI melihat penggunaan teknologi dron sebagai satu pendekatan yang mampu meningkatkan kecekapan pemantauan kampus selain membantu mengurangkan kebergantungan kepada anggota keselamatan bagi tugasan tertentu.
“Pada masa sama, kerjasama ini memberi peluang kepada staf dan pelajar memperoleh latihan serta pendedahan kepada teknologi yang semakin penting dalam era digital,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UPSI dan INSTUN di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, hari ini.
Beliau berkata hubungan antara UPSI dan INSTUN bukan sesuatu yang baharu kerana kedua-dua institusi telah menjalinkan kerjasama sejak 2015 menerusi pelbagai program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Antaranya ialah penganjuran Wacana Ilmu Penggunaan Dron dalam Aktiviti Pemetaan yang melibatkan lebih 150 pelajar dan 10 pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian teknologi semasa dalam bidang pemetaan dan geospatial.
Pemeteraian MoU itu turut membuka ruang kepada kerjasama lebih luas dalam bidang penyelidikan geospatial, Sistem Maklumat Geografi (GIS), pemetaan digital, pengurusan tanah serta pembangunan modal insan melalui program latihan, perkongsian kepakaran dan mobiliti staf.
Selain itu, UPSI juga berpeluang memanfaatkan kemudahan dan fasiliti yang disediakan INSTUN termasuk kemudahan penginapan bagi menyokong pelaksanaan program akademik, latihan profesional dan persidangan berskala besar.
Md Amin berkata kedua-dua institusi turut berpotensi meneroka peluang mendapatkan geran penyelidikan bersama, menghasilkan penerbitan berimpak tinggi, membangunkan modul latihan profesional serta menganjurkan seminar dan persidangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah INSTUN, Khairin Nazry Karim berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkasa penggunaan teknologi dron dan pembangunan kompetensi geospatial melalui latihan profesional, perkongsian kepakaran serta pelaksanaan program berimpak tinggi.
“INSTUN optimis kolaborasi strategik bersama UPSI akan membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka inovasi dalam bidang dron, pemetaan dan geospatial, sekali gus menyokong keperluan negara terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut,” katanya.
Beliau menambah, kolaborasi itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem geospatial yang lebih mampan dan berdaya saing selaras dengan keperluan transformasi digital negara.


