KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Subang Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengingatkan, Kerajaan Perpaduan yang wujud hari ini adalah hasil persefahaman, toleransi dan kerjasama politik antara pelbagai parti yang meletakkan kepentingan negara mengatasi perbezaan ideologi dan kepentingan partisan.
Akui Armand beliau menghormati institusi dan jawatan Perdana Menteri sebagai tonggak utama pentadbiran negara serta simbol kestabilan dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan.
Namun tegasnya, penghormatan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai ruang untuk mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan politik yang boleh dilihat memperkecilkan peranan rakan-rakan dalam kerajaan atau cuba membentuk semula naratif sejarah mengikut kepentingan politik tertentu.
“Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah Kerajaan Perpaduan hari ini terbentuk pasca PRU15 apabila tiada mana-mana parti politik berjaya memperoleh majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Justeru, tidak wajar mana-mana pihak bersikap angkuh atau memberi gambaran bahawa kekuatan politik yang dimiliki hari ini hadir secara mutlak tanpa dukungan serta pengorbanan rakan-rakan yang lain.
“Semangat Kerajaan Perpaduan menuntut rasa hormat, pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kestabilan negara dapat dipertahankan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Armand memberitahu, Barisan Nasional (BN) secara konsisten memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam memastikan proses pembentukan kerajaan berjalan dengan baik demi kepentingan rakyat dan negara.
“Peranan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menjayakan pembentukan Kerajaan Perpaduan serta memastikan kestabilan politik negara tidak boleh dinafikan atau dipadamkan daripada fakta sejarah.
“Begitu juga dengan sumbangan semua parti komponen yang bersama-sama memikul tanggungjawab besar dalam memastikan negara tidak terus terjerumus ke dalam ketidakstabilan politik.
“Pada masa yang sama, kepimpinan seperti Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor wajar dijadikan contoh pendekatan politik yang matang dan berorientasikan rakyat. Fokus beliau terhadap pembangunan negeri, pelaburan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat membuktikan bahawa politik yang berkesan adalah politik yang menghasilkan penyelesaian, bukannya sekadar retorik,” katanya.
Justeru tegas beliau, BN kekal komited sebagai rakan strategik dalam Kerajaan Perpaduan.
“Namun demikian, komitmen tersebut tidak bermaksud BN perlu mengorbankan prinsip, identiti dan hak untuk menyuarakan pandangan secara terbuka dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat, negara serta masa depan demokrasi.
“Politik yang matang bukanlah medan untuk menentukan siapa paling lantang bersuara atau paling hebat berpidato.
“Politik yang matang adalah tentang keupayaan membina kepercayaan, menghormati rakan seperjuangan dan menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Hormatilah semua rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Jangan sesekali lupa bahawa kuasa adalah amanah, bukan hak mutlak. Apa yang dimiliki hari ini boleh berubah pada bila-bila masa sekiranya amanah tersebut gagal dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
“Kerjasama dibina atas rasa hormat. Kestabilan dipertahankan melalui kepercayaan,” pesan Armand.



