Pas main kasar, amal politik kotor – Tun Faisal kaitkan dengan mullah, Taliban dan Machiavelli

KUALA LUMPUR – Kasar permainan politik Pas ini. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, Allah tunjukkan sikap autoritarian dan politik kotor Pas.

Kalau bukan pendekatan ke’mullah’an dan ke’Talibanan’, mungkin pegangan Machiavellian, yang mana matlamat menghalalkan cara, selar Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Menurut beliau, bukan lagi rahsia bahawa terdapat pihak dalam Pas yang berhasrat untuk menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan tersebut. Hasrat ini telah beberapa kali dibayangkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu.

“Selepas Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digugurkan daripada jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN), kononnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, jumlah wakil Pas dalam Majlis Tertinggi (MT) PN meningkat kepada lapan orang, iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihan Raya, Ketua Pemuda PN dan seorang Ahli MT.

“Sebaliknya, wakil Bersatu tinggal hanya empat orang, iaitu Timbalan Pengerusi, Ketua Wanita dan dua Ahli MT.

“Pada masa yang sama, diumumkan bahawa Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat, kononnya untuk memperkukuh organisasi PN. Persoalannya, mengapa tiba-tiba perlu mesyuarat tergempar sedangkan sebelum ini Pengerusi PN tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengurus konflik dalaman PN, tidak memanggil Mesyuarat MT PN, tidak mengadakan rundingan kerusi, mesyuarat persiapan pilihan raya mahupun mesyuarat jawatankuasa electoral pact?

“Malah, beberapa minggu sebelum itu Pengerusi PN seolah-olah ‘ghaib’ tanpa sebarang kenyataan mengenai isu semasa negara dan konflik dalaman PN,” tempelak Tun Faisal.

Ujar beliau, kenyataan anggota Lajnah Undang-Undang Pas serta jentera parti juga memberi gambaran ke arah itu, termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam Majlis Tertinggi untuk menekan Bersatu, serta mengetepikan peranan Majlis Presiden dalam proses membuat keputusan.

“Dari aspek jumlah undi, Gerakan dan MIPP, masing-masing mempunyai tiga undi dalam MT PN, iaitu Timbalan Pengerusi dan dua orang ahli MT.

“Sebelum Samsuri menggugurkan Radzi dan Azmin, Pas mempunyai enam wakil dalam MT PN, iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan seorang Ahli MT. Bersatu juga mempunyai enam orang wakil, iaitu Timbalan Pengerusi, Timbalan Setiausaha Agung, Ketua Pengarah Pilihan Raya, Ketua Wanita dan dua orang Ahli MT.

“Sekiranya berlaku pengundian, dan sekiranya diandaikan MIPP menyokong Bersatu, maka jumlah undi Bersatu-MIPP adalah sembilan. Jika diandaikan Gerakan pula menyokong Pas, jumlah undi Pas-Gerakan juga adalah sembilan. Maka undi Pengerusi akan menjadi undi pemutus.

“Dengan pengguguran Radzi dan Azmin, Pas cuba memaksimumkan undi Pas, iaitu kepada lapan undi dan pada waktu yang sama mahu mengurangkan undi Bersatu, kepada hanya empat undi.

“Jadi sekiranya MIPP menyokong Bersatu sekalipun, undi Bersatu-MIPP hanya tinggal tujuh undi. Dengan sokongan Gerakan, undi Pas-Gerakan akan menjadi 10 undi (tidak termasuk undi Pengerusi). Dengan kelebihan ini, Pas boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu kerana mereka yakin dengan sokongan tiga undi Gerakan, keputusan akan berpihak kepada mereka.

“Apabila ini berlaku, apakah komen sahabat-sahabat saya dalam Pas, iaitu dalam kalangan kem ulama, mengenai permainan politik Kluster Publika ini? Kata mereka, “Bersatu kena segera ambil tindakan. Kami dalam Pas dah hadapi golongan gila ini, buat peraturan ikut suka mereka, main belakang-belakang, langgar semua peruntukan Perlembagaan Pas dan buat tafsiran sendiri. Langgar Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama. Merekalah yang merosakkan Pas dan menyebabkan Pas dilihat jahat, tidak jujur dan bermain politik kotor, berbeza sangat dari ajaran Islam,” dakwanya.

Jadi Tun Faisal berkata, respon beliau kepada rakan-rakannya dalam Pas ini, “Insya-Allah, Bersatu komited untuk lawan dan pertahankan PN.

“Tapi saya pun harap rakan-rakan dalam Pas juga boleh bantu hentikan kerakusan dan kegilaan Kluster Publika ini dari dalam,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat