Desakan Onn Hafiz untuk ‘poster boy’ PH menghairankan – Dr Zaliha Mustapha

JOHOR BAHRU, – Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyifatkan desakan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi supaya Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon Menteri Besar sebagai sesuatu yang menghairankan memandangkan beliau sendiri mengakui status “poster boy” bukan jaminan seseorang dilantik ke jawatan itu.

Menurut Ahli Parlimen Sekijang itu, PH tidak perlu terlalu bimbang dengan persoalan calon Menteri Besar kerana gabungan itu mempunyai ramai pemimpin yang layak, berwibawa dan berintegriti untuk memikul amanah tersebut sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

“Yang menghairankan, beliau mendesak PH mengumumkan calon Menteri Besar kerana kononnya rakyat berhak tahu. Namun pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa status ‘poster boy’ bukan jaminan seseorang akan menjadi Menteri Besar.

“Jadi yang mana satu sebenarnya?” soalnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, sekiranya pelantikan Menteri Besar akhirnya tertakluk kepada proses dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, isu calon Menteri Besar tidak sepatutnya dijadikan polemik politik.

Dr Zaliha menegaskan bahawa PH menghormati sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Negeri Johor serta kuasa DYMM Sultan Johor dalam melantik Menteri Besar.

Katanya, atas sebab itu PH tidak terlalu ghairah bermain politik persepsi atau menjadikan jawatan Menteri Besar sebagai modal kempen pilihan raya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Johor mengenai apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu apabila Barisan Nasional (BN) menampilkan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai wajah utama dan ‘poster boy’ kempen mereka.

“Namun akhirnya yang dilantik sebagai Menteri Besar ialah Datuk Onn Hafiz sendiri.

“Justeru, apabila Datuk Onn Hafiz hari ini begitu mendesak PH menamakan calon Menteri Besar, rakyat tentunya berhak bertanya sama ada beliau benar-benar bercakap tentang hak rakyat untuk tahu, atau sekadar cuba mencipta polemik politik yang beliau sendiri akui bukan penentu pelantikan Menteri Besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata fokus utama PH ketika ini adalah untuk menawarkan penyelesaian kepada isu yang dihadapi rakyat dan bukan terlibat dalam perdebatan mengenai jawatan.

Menurutnya, gabungan itu akan terus turun padang bertemu rakyat, mendengar masalah mereka serta mengemukakan dasar dan penyelesaian yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat Johor.

“Rakyat Johor lebih berminat untuk mengetahui bagaimana masa depan mereka boleh diperbaiki, bagaimana peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan dan bagaimana ekonomi negeri dapat dipacu ke hadapan.

“Bukannya siapa yang paling sibuk bermain politik persepsi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat