Program Imunisasi Bantu Turunkan Kes Baru Covid-19 Di Malaysia – Pengarah NIH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Trend kes baharu COVID-19 di Malaysia mula merekodkan penurunan sejak hujung Ogos lepas dengan jumlah populasi individu lengkap vaksinasi ketika itu mencapai tahap 46 peratus.

Pengarah Pusat Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Kalaiarasu M Peariasamy berkata data itu sekali gus membuktikan keberkesanan pemberian semua jenis vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Jelas beliau, trend kematian akibat wabak itu turut merekodkan pengurangan sejak awal September apabila jumlah populasi rakyat lengkap divaksin mencapai 55 peratus.

“Setakat 12 Sept, pemberian vaksinasi lengkap dapat mengurangkan risiko kemasukan pesakit COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 83 peratus, manakala risiko kematian pula sebanyak 88 peratus.

“Kes aktif telah sampai tahap tertinggi penghujung Ogos dan menurun seperti kes harian…kami harap pada penghujung tahun ini kita mencapai lebih kurang 4,000 dan ke bawah bagi kes aktif,” katanya dalam sesi libat bersama media berkaitan PICK dan PICK Remaja secara maya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Kalaiarasu memaklumkan kajian melibatkan 1,261,270 individu lengkap dan separa lengkap vaksin mendapati, risiko dijangkiti COVID-19 dapat dikurangkan sehingga 88 peratus bagi mereka yang lengkap divaksin berbanding 51 peratus bagi suntikan vaksin separa lengkap.

Bagi data kajian ‘breakthrough infection’ COVID-19 melibatkan 14,500,984 individu lengkap vaksinasi, hanya 0.007 peratus atau 953 daripadanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 0.010 peratus (1,445) dilaporkan maut.

“Secara keseluruhan, vaksin berkesan mencegah dan mengurangkan penyakit teruk dan kematian dalam kalangan pesakit COVID-19 selain mengurangkan beban sistem kesihatan.

“Sementara individu yang tidak divaksin pula berdepan 11 kali lebih tinggi risiko kematian akibat jangkitan varian delta,” katanya.

Setakat semalam, seramai 18,964,474 individu atau 81 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat