Ekonomi tidak pulih serta-merta selepas perjanjian damai AS-Iran – Menteri Ekonomi

KUALA LUMPUR – Kesan pemulihan ekonomi tidak akan dirasai serta-merta kerana ia memerlukan masa bagi memulihkan laluan perdagangan strategik dan infrastruktur yang terjejas biarpun terdapat potensi perjanjian damai bagi menamatkan krisis geopolitik global ketika ini di Asia Barat.

Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata, hal ini kerana proses pemulihan ekonomi dijangka mengambil tempoh yang panjang khususnya membabitkan laluan kritikal seperti Selat Hormuz serta kerosakan prasarana yang terkesan akibat konflik peperangan sebelum ini.

“Sekiranya benar perjanjian damai itu boleh dicapai, kesannya mungkin akan mengambil masa kerana proses untuk memulihkan keadaan daripada segi laluan di Selat Hormuz dan infrastruktur yang terjejas memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Menara Prisma, Kementerian Ekonomi di Putrajaya pada Isnin.

Akmal Nasrullah diminta mengulas laporan media asing hari ini yang berkata Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mencapai perjanjian damai serta menamatkan operasi ketenteraan secara ‘serta-merta dan kekal’ di semua medan konflik termasuk Lubnan, menurut negara pengantara, Pakistan, lapor MalaysiaGazette.

Perkembangan terbaharu itu secara langsung memberi isyarat berakhirnya perang yang berlarutan lebih tiga bulan di Asia Barat.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menerusi platform X memaklumkan perjanjian damai itu sudah dicapai dan majlis menandatangani perjanjian secara rasmi akan diadakan di Switzerland pada 18 Jun ini.

Presiden AS Donald Trump dalam satu kenyataan berkata, perjanjian dengan Republik Islam Iran kini sudah dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menambah, krisis geopolitik di peringkat global itu telah memberikan kesan yang ketara kepada negara terutamanya dalam mendepani isu bekalan minyak.

Kata beliau, biarpun kerajaan sentiasa menantikan perkembangan positif berhubung ruang rundingan damai namun situasi semasa masih belum membolehkan negara untuk kembali ke ‘mod selesa’.

“Perkara itu masih boleh dipengaruhi dengan faktor-faktor di luar jangka. Oleh itu, di peringkat kementerian, kita mengekalkan komitmen untuk terus melihat peranan yang boleh diambil bagi meredakan tekanan yang berlaku.

“Ini termasuklah melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan terus kita langsungkan sehinggalah keadaan benar-benar memberi gambaran yang lebih jelas dalam soal penamatan krisis ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat