KUALA LUMPUR – Pemuda Umno akan mohon menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapatkan kepastian sama ada titah adendum untuk Datuk Seri Najib Razak wujud atau sebaliknya.
Titah adendum itu didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 sewaktu mempengerusikan Lembaga Pengampunan bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah dan difahamkan mesyuarat berkenaan menjadi mesyuarat rasmi terakhir bagi Al Sultan Abdullah sebelum pemerintahan baginda berakhir dan kembali sebagai Sultan Pahang.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata, pihaknya akan menunggu keputusan semakan kehakiman yang difailkan Najib terlebih dahulu sebelum memohon menghadap Sultan Pahang bagi mendapatkan kepastian.
“Ya pertamanya, titah adendum itu telah diserahkan kepada kerajaan, jadi sudah tentu kita nak minta kerajaan untuk respons.
“Jika ada kenapa tidak dilaksana? Jika tiada kenapa?
“Mungkin kita boleh minta mohon menghadap tuanku (Agong ke-16) untuk kita dapatkan apakah situasi yang sebenar.
“Buat masa ini kita tunggu respons. Najib dalam tempoh rayuan semula mengenai titah adendum. Oleh itu, kita menghormati segala keputusan mahkamah.
“Jadi sudah tentu saya percaya perkara ini kalau diberikan keadilan sebaiknya ini akan kepuasan hati semua pihak. Kita tunggu dan lihat keputusan mahkamah lepas tu kita akan mulakan langkah yang seterusnya (jumpa Al-Sultan Abdullah),” kata Akmal ketika sidang media selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 pada Sabtu.
Adun Merlimau itu malah mempersoalkan sekiranya benar titah adendum itu tidak wujud memandangkan tiada sebarang maklum balas daripada kerajaan.
“Jika wujud kenapa tidak dilaksanakan? Jika tidak wujud takkanlah Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Naib Presiden (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) berbohong?
“Jadi itu persoalan Pemuda kepada kerajaan yang ada hari ini,” tegas Akmal.