KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan tiada sebab untuk Umno-BN berpisah dengan Pakatan Harapan (PH) yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini.
Kata beliau, alasan untuk kekal bersama dengan PH itu bersandarkan kerjasama yang kesefahaman sangat baik antara Umno-BN dan parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tetapi politik ini terlalu dinamik, bagi saya tidak ada sebab untuk kita berasingan ataupun berpisah kalau melihatkan kepada kerjasama hari ini, kesefahaman hari ini sangat baik dan begitu juga tugas-tugas yang diberikan kepada Umno.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tahu apa yang Umno boleh buat, apa peranan dan tugas Umno maka tidak ada sebab sehingga hari ini,
tidak ada sebab untuk kita berpisah, akan tetapi semua ini kerja Allah SWT,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024, pada Sabtu.
Jazlan mengulang pendirian keserasian BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan ini maka tidak ada sebab untukbergerak berasingan pada pilihan raya akan datang.
Mengulas perkara lain, Jazlan berkata, sudah tidak relevan lagi istilah kerusi tradisi diguna pakai dalam konteks atmosfera politik hari ini.
“Istilah ini kerusi tradisi Umno, ini kerusi tradisi mana-mana parti tak ada istilah tersebut.
“Apabila gelombang berpihak kepada satu-satu pihak contoh di Marang, Presiden PAS pernah kalah di Parlimen Marang. Maknanya kalau nak kira itu tradisi kerusi, siapa sangka Marang dan Presiden PAS pun pernah kalah.
“Apa yang penting sekarang ini kita mesti peka terhadap kehendak rakyat. Parti mana yang menawarkan khidmat terbaik akan menjadi pilihan rakyat,” ujarnya.
Jazlan juga menambah pasca Pilihan Raya Umum 2018 lalu, rakyat negara ini sudah melalui pelbagai pemerintahan kerajaan yang berbeza,.
“Selepas 2018 mereka dah tak ada kerajaan dah mereka tak cuba.
“Kerajaan itu, kerajaan ini, macam-macam nama kerajaan. Sekarang ini mungkin rakyat sedang melihat sebenarnya Umno adalah parti yang terbaik untuk memimpin kerajaan.
“… dan mereka sudah merasakan kenikmatan dan kelebihan sewaktu Umno dan BN memimpin kerajaan dengan tidak berhasrat untuk menidakkan mana-mana kerajaan tetapi sudah tentu rakyat akan memilih yang terbaik di kalangan yang baik,” jelas Jazlan lagi.