KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengakui partinya tidak maksum (sempurna) sepanjang 62 tahun memerintah negara ini.
Zahid yang juga Presiden Umno berkata, muhasabah ini dibuat bagi memperbaiki kelemahan dan realitinya untuk melaksanakan perubahan.
“Harus lakukan muhasabah. Ini pengakuan, selama 62 tahun BN jadi tunjang belakang kepada kerajaan di negara ini namun kita tak sempurna, tak sifat maksum.
“Muhasabah ini dibuat bagi baiki kelemahan dan realitinya perubahan dilakukan dalam mendakapi teknologi baru dalam telekomunikasi politik untuk dekati santuni para pengundi terutama di kalangan pengundi muda dengan melakukan pendekatan baru yang selama ini mungkin terlepas pandang dan tak beri fokus,” katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 pada Sabtu.
Zahid juga menegaskan melalui gerak kerja sebagai menteri Persekutuan perlu komited dalam bentuk pelaksanaan.
“Antara isu yang dilontar terkait portfolio dipegang tujuh menteri mewakili Umno dan BN melibatkan enam timbalan menteri termasuk dalam Umno, PBRS ertinya 13 bidang portfolio dilakukan wakil Jemaah Menteri ini lakukan penyelarasan agenda parti dapat dasar dilaksanakan tanpa tinggalkan rakan di dalam Kerajaan Perpaduan kaum dan bangsa serta agama ambil pendekatan yang berbeda biar Umno parti Melayu tunggak Islam namun bangsa lain tak terpinggir.
“Kita juga tekankan agar rakan kita di Sabah dan Sarawak kita santuni, perlu lihat keimbangan kemajuan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.