Demam Pilihan Raya Dan Perlunya Muka Baru Dalam UMNO  

- Advertisement -

Oleh Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri

Ada ketika artikel ini ditulis, pelbagai desas desus dan spekulasi mengenai tarikh pembubaran Parlimen semakin kuat kedengaran. Bulan November 2020, Januari atau Februari 2021 adalah antara jangkaan dimana Parlimen akan dibubarkan yang mana ianya mengambil kira bahawa pembubaran bakal berlaku apabila usul pembentangan bajet 2021 diluluskan di Parlimen.

Ianya dihangatkan lagi dengan pertemuan wakil parti dari UMNO,PAS dan PPBM yang telah diadakan dimana agenda pertemuan tersebut dikatakan untuk membincang dan memuktamadkan pengagihan kerusi yang bakal ditandingi oleh ketiga-tiga parti tersebut.

Kemenangan besar parti UMNO dalam Pilihan raya Kecil di kerusi Dewan Undangan Negeri N23 Chini, Pahang boleh ditafsirkan kepada pelbagai maksud dan perkara. Majoriti sebanyak 12,650 undi yang diperolehi oleh calon BN yang datang dari parti UMNO, YB Mohd Sharim Md Zain menjelaskan bahawa rakyat sudah memberikan isyarat kepada kesediaan mereka untuk memilih calon baru yang muda dan bertenaga sebagai wakil sah mereka di peringkat negeri.

Tidak hanya di N23 Chini, kesediaan parti UMNO dalam meletakkan calon muda di kawasan parlimen Kimanis di Sabah juga sedikit sebanyak memberikan isyarat bahawa UMNO kini sudah mula melihat kepada kelebihan dan keterampilan yang dimiliki oleh orang muda sebagai suara baru yang boleh mewakili parti pada masa akan datang.

Di Kimanis misalannya, jumlah majoriti undi yang diperolehi pada pilihan raya kecil yang lalu meningkat secara mendadak jika hendak dibandingkan dengan keputusan pilihan raya umum yang lalu dan ini sekaligus menunjukkan bahawa penerimaan rakyat terhadap calon muda yang bersih boleh diterima.

Bagi UMNO, kemenangan yang diperolehi oleh YB Dato Mohamad Alamin dan juga YB Mohd Sharim Md Zain jelas menunjukkan bahawa UMNO kini mempunyai formula tersendiri dalam memenangi pilihanraya. Indikator seperti perlunya meletakkan calon muda sebagai wakil UMNO pada masa akan datang amatlah perlu supaya perspektif UMNO yang dilihat dari mata kasar oleh rakyat dan masyarakat sebagai sebuah parti yang sentiasa meletakkan calon tua, “recycle” dan “warlord” di bahagian boleh diubah.

Mungkin indikator yang dicadangkan ini agak keterlaluan untuk dicadangkan tetapi hakikatnya ianya perlu dilaksanakan supaya UMNO terus segar dengan muka-muka baru dan boleh diketengahkan muka-muka muda agar parti terus relevan pada masa mendatang.

Mengenjak usia kepada 74 tahun dalam politik negara, parti seperti UMNO perlulah segera memikirkan kepada keutamaan untuk mencari sinergi baru dalam kepimpinannya. Peluang seharusnya dibuka kepada golongan muda dan muka-muka baru supaya menerajui kepimpinan. Proses transisi ini perlu bermula daripada sekarang namun ianya harus dilakukan secara tertib supaya kestabilan parti dapat terpelihara.

Meskipun idea peremajaan parti yang sudah dilaungkan sejak tahun 2014 yang lalu seakan-akan tidak ditemui jalan perlaksanaannya, namun perubahan total suasana politik negara yang dapat dilihat pada hari ini seakan memberikan isyarat bahawa parti UMNO memerlukan perubahan.

Perlunya UMNO untuk berubah dari sekarang ada asasnya. Apabila rang undang-undang penurunan had umur untuk mengundi dilakukan, pertambahan pengundi pastinya akan berlaku. Dengan jangkaan seramai 7.8 juta pengundi baharu yang akan dimasukkan ke dalam daftar pemilih sehingga 2023. 

Jika pendaftaran secara automatik dilaksanakan bersama dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, UMNO sudah tentunya memerlukan strategi baru bagi menarik sokongan golongan ini.  Peningkatan jumlah pengundi yang dijangka akan mencecah angka sebanyak 22.7 juta orang pada masa akan datang seharusnya dilihat sebagai peluang untuk UMNO mencari sokongan yang diperlukan.

Sesungguhnya, UMNO pada hari ini perlu memberikan ruang kepada perubahan untuk berlaku jika mahu kekal relevan pada masa akan datang. Pilihan raya Kecil yang akan berlangsung di DUN Slim pada 29 Ogos nanti seharusnya digunakan seboleh-bolehnya untuk UMNO bagi terus merencanakan agenda perubahan agar dapat mengekalkan momentum sokongan rakyat disamping mencari peluang untuk menambah sokongan pada parti ini.

Formula meletakkan calon yang baru, muda dan bersih haruslah dikekalkan seperti yang telah dilakukan sebelum ini di Chini dan Kimanis supaya momentum kejayaan dan kemenangan dapat dikekalkan.

*Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN, Universiti Utara Malaysia.

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat