KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah akan menyiasat dakwaan mengenai permohonan tanah seluas 129 hektar membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tindakan sewajarnya akan diambil jika berlaku sebarang unsur yang menyalahi undang-undang berhubung permohonan tanah di daerah Nabawan itu.
“Saya akan siasat perkara ini dan kita ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Sarifuddin Hata (WARISAN-Merotai) meminta penjelasan mengenai kewajaran permohonan tanah oleh seorang ADUN yang menjadi persoalan rakyat.
Sarifuddin berkata, rakyat mempersoalkan kesukaran dihadapi mereka apabila memohon tanah kerajaan dan terkilan apabila mendapat tahu seorang ADUN boleh memohon tanah yang sebegitu luas.
Abdul Ghani yang turut berada dalam dewan sebelum itu mencelah memaklumkan ia baru membabitkan proses permohonan tanah, selain memperbetulkan jenis permohonan iaitu tanah pajakan negara (CL) dan bukannya pendudukan sementara (TOL) untuk membalak seperti didakwa Sarifuddin.
Semalam, Abdul Ghani dalam perbahasannya, memberi penjelasan berhubung status sebidang tanah seluas 129 hektar di Nabawan yang didakwa dimohon atas namanya.
Penjelasan itu berikutan tuduhan negatif dilemparkan terhadapnya oleh pemimpin pembangkang selepas permohonan tanah atas namanya disebarkan di media sosial oleh pihak tertentu.
Abdul Ghani mengakui kewujudan permohonan atas namanya itu yang membabitkan tanah bekas Hutan Simpan Pensiangan Kelas II yang sudah dibubarkan sebelum diwartakan sebagai Tanah Kerajaan Tatalaan.
Beliau menjelaskan, permohonan itu atas permintaan pemimpin masyarakat dan penduduk kampung di kawasan terbabit untuk menggunakan namanya bagi menghalang individu atau syarikat dari luar memohon tanah berkenaan.
Katanya, tujuan memohon tanah itu untuk melaksanakan projek ternakan melalui penubuhan sebuah koperasi dengan usaha sama Lembaga Pembangunan Tanah Negeri Sabah (SLDB).
Dalam perkembangan berasingan berhubung permohonan TOL untuk membalak, Hajiji berkata lesen hanya dikeluarkan selepas semua keperluan dan syarat jabatan yang berkepentingan dipatuhi.
Ini membabitkan kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) atau Proposal Mitigation Measures (PMM), pembayaran hasil tanah dan penyukatan kawasan dimohon. – BH