Jika PN memerintah, keputusan kerajaan mungkin dibuat di Rusila – Marzuki

KUALA LUMPUR – Penasihat Politik kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad menyindir peranan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwanya kini seolah-olah lebih berkuasa dalam menentukan keputusan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Marzuki, dua keputusan penting diumumkan Presiden PAS hari ini, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang dan parti pimpinan Hamzah akan menggunakan logo PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan.

Katanya, kedua-dua keputusan itu tidak dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

“Malah, keputusan pertama bertentangan dengan keputusan MT PN melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri, Naib Presiden PAS, sebagai Ketua Pembangkang.

“Presiden PAS bukan Ahli MT PN, tetapi ‘berkuasa’ membuat keputusan PN,” katanya dalam satu kenyataan.

Marzuki berkata beliau percaya MT PN akhirnya akan mengesahkan keputusan yang dibuat Presiden PAS itu.

Katanya, kedudukan Pengerusi PN yang juga Naib Presiden PAS bergantung kepada ihsan Presiden PAS.

“Hari ini pun, di hadapan ribuan ahli PAS yang dikerah untuk memeriahkan majlis Hamzah, beliau ‘dipecat’ sebagai Ketua Pembangkang sebelum memulakan tugas.

“Inilah ciri-ciri Presiden PAS sebagai Supreme Leader,” katanya.

Dalam sindiran tajam, Marzuki berkata sekiranya PN menjadi kerajaan kelak, wartawan mungkin tidak perlu lagi menunggu keputusan Kabinet di Putrajaya.

“Apabila PN menjadi kerajaan kelak, wartawan tidak perlu menunggu di Putrajaya pada hari Rabu untuk mengetahui keputusan Kabinet.

“Tunggu saja di Rusila pada hari Jumaat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat