MB Johor sindir ‘jemputan ikhlas’ Anthony Loke, dakwa kerajaan negeri kerap dipinggirkan

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyindir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung jemputan menghadiri pelaksanaan projek KTM Komuter di Johor, dengan menyifatkan ia sebagai jemputan yang akhirnya dibuat secara “ikhlas” selepas kerajaan negeri sebelum ini didakwa beberapa kali diketepikan daripada program kementerian.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Onn Hafiz berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghadiri program tersebut kerana projek pengangkutan awam adalah demi kepentingan rakyat Johor dan bukannya soal kerjasama politik.

“Saya berasa terharu dan lega kerana akhirnya, saya dan Kerajaan Negeri Johor mendapat jemputan yang ‘ikhlas’ daripada YB Menteri Pengangkutan untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini,” katanya.

Menurut beliau, sehingga kini pejabatnya masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi atau butiran program daripada Kementerian Pengangkutan, sebaliknya hanya mengetahui mengenai jemputan itu melalui laporan media yang memetik kenyataan Anthony Loke ketika program Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan malam sebelumnya.

Onn Hafiz turut mengingatkan bahawa beberapa program rasmi Kementerian Pengangkutan sebelum ini didakwa berlangsung tanpa penglibatan kerajaan negeri Johor.

Antara yang disenaraikan ialah lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada Januari 2023, pengumuman berkaitan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) pada September dan Oktober 2024 serta lawatan ke projek ETS Segamat pada Mac 2025.

Beliau turut membangkitkan lawatan kerja Anthony Loke ke tapak projek RTS Link pada April lalu yang menurutnya sekali lagi tidak melibatkan kerajaan negeri.

Malah, beliau mempersoalkan kehadiran beberapa pemimpin DAP Johor dalam lawatan tersebut selepas dimaklumkan oleh pihak kementerian bahawa jemputan hanya melibatkan vendor dan pembekal projek.

“Adakah pemimpin-pemimpin DAP ini merupakan vendor atau pembekal?” soalnya.

Dalam masa sama, Onn Hafiz menjelaskan kerajaan negeri bukan sekadar menyokong dari segi dasar, malah turut menyediakan pelbagai bantuan bagi menjayakan pelaksanaan perkhidmatan KTM Komuter Johor.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menyalurkan RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren selain menyediakan perkhidmatan bas pengantara melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dengan kos operasi sekitar RM86,000.

Kerajaan negeri juga menyelaraskan laluan Bas Muafakat Johor serta menaja kemudahan tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 bagi meningkatkan keselesaan penumpang.

Onn Hafiz menegaskan perkongsian tersebut bukan bertujuan menuntut kredit politik, sebaliknya untuk menjelaskan bahawa kerajaan negeri turut memainkan peranan penting dalam menjayakan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

“Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan.

“Projek pembangunan bukan milik mana-mana parti politik termasuk DAP. Ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat rakyat,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan melapangkan jadual untuk menghadiri program berkenaan sebaik menerima surat jemputan rasmi dan maklumat lengkap daripada pihak kementerian.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat