NGO Bidas Kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan

- Advertisement -

PETALING JAYA – Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah, disifatkan sebagai jahil susulan kenyataannya hari ini bahawa aktiviti pembalakan bagus untuk populasi dan habitat harimau.

Aktivis alam sekitar, Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, Khalim harus berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan atau berisiko menjadi bahan ketawa.

Sabrina turut menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bertindak segera membuat pembetulan dan memberi amaran kepada Pengarah Perhutanan Kelantan supaya berhenti mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Sabrina, yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), memberitahu FMT bahawa kenyataan Khalim mengenai harimau itu adalah “sangat tidak bertanggungjawab”.

“Hanya PERHILITAN yang patut mengeluarkan kenyataan mengenai perkara yang berkaitan dengan habitat harimau, katanya.

Beliau berkata, pembalakan bukan sahaja menjejaskan harimau tetapi juga hidupan liar lain, serta Orang Asli.

Katanya, tiada data jelas tersedia mengenai jumlah hutan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi pembalakan.

“Setakat yang kita tahu, CTT (catuan penebangan) di Kelantan amat diragui dan tidak boleh dipercayai,” katanya.

Beliau berkata pensijilan Kelantan untuk pembalakan lestari telah ditarik balik oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia pada Mac 2016 selepas negeri itu melebihi kuota pembalakan.

“Ini menunjukkan dengan jelas bahawa Kelantan tidak boleh dipercayai dalam kenyataan yang mereka keluarkan dalam mempertahankan amalan pembalakan di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Khalim dilaporkan berkata, aktiviti pembalakan dikenal pasti bagus untuk populasi dan habitat harimau.

Beliau berkata, kesan aktiviti itu akan menyebabkan tumbuhan baru tumbuh sekali gus menggalakkan kehadiran spesies haiwan yang menjadi makanan kepada harimau.

“Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau. Populasi harimau akan lebih tinggi, apabila berlaku pembalakan kawasan itu akan ditumbuhi anak pokok.

“Jadi kawasan itu akan dihadiri haiwan seperti kancil yang menjadi makanan harimau. Ia akan memudahkan harimau memburu mangsanya,” katanya dalam satu majlis di Gua Musang, Kelantan, menurut laporan Malaysiakini. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat