PM Yang Merdekakan Negara Pun Dapat Rumah Papan, Hargai Jasa Tak Perlu Hingga Jadi Jutawan – Mahathir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj bekas Perdana Menteri yang memerdekakan negara hanya diberi sebuah rumah dinding papan berbumbung genting saja, apa sumbangan Datuk Seri Najib Razak sehingga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyediakan kepadanya hartanah bernilai RM100 juta? soal Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam catatan di blognya, Dr Mahathir berkata, kita boleh hargai jasa seseorang Perdana Menteri tetapi tidaklah sampai menjadikannya jutawan.

“Sumbangan mereka sebenarnya juga perlu diambil kira. Bagi seorang Perdana Menteri yang merosakan negara sehingga dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai RM100 juta, sedangkan yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja?

” Kerajaan Ismail Sabri bersetuju untuk memberi tanah dan membina rumah yang bernilai RM100 juta kononnya sebagai menghargai khidmat Najib sebagai Perdana Menteri.

” Apa dianya sumbangan Najib kepada negara? Yang kita tahu ialah ia didapati bersalah mencuri duit kerajaan, menghilangkan duit Kerajaan berbillion ringgit. Beliau dihukum penjara 12 tahun dan denda lebih dari RM200 juta.

” Kes itu sedang dibicara terhadap lebih USD800 juta yang ada dalam banknya. Dan Najib tidak dapat jelas bagaimana ia memperoleh wang yang sebegitu banyak. Ini bukan perkara lama. Ini perkara sekarang dan masa depan kerana sampai puluhan tahun Kerajaan Malaysia terpaksa bayar faedah sebanyak RM2 billion setahun dan hutang pokok RM42 billion. Anak cucu kita akan tanggung beban ini,” bidas bekas Perdana Menteri itu.

Dr Mahathir menegaskan, Perdana Menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih daripada mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa.

“Itulah yang saya lakukan. Saya jadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak tuntut dan tidak dapat apa-apa selain daripada pencen dan RM10,000 sebulan untuk selenggara rumah yang didiri oleh saya sendiri.

“Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara percuma apabila saya bersara tetapi saya telah tolak dan sebaliknya saya beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara.

“Setiap tahun saya bayar cukai tanah sebanyak RM6,071 dan cukai taksiran sebanyak RM1,792,” beritahu Dr Mahathir.

Kata Ahli Parlimen Langkawi itu, Najib juga telah merosakkan parti UMNO yang buat pertama kali kalah dalam PRU-14 malah pentadbiran negara juga dirosakkan sehingga pegawai tinggi terpaksa dihentikan kerana rasuah.

” Ekonomi negara hancur dan sekarang ini keadaan politik tidak stabil sehingga dalam masa tiga tahun berlaku pertukaran Perdana Menteri tiga kali.

” Negara ini yang dahulu dikenali sebagai Asian Tiger sekarang menjadi kleptokrasi iaitu negara pencuri yang diperintah oleh pencuri, hasil pemerintahan Najib. Dunia pandang hina kepada Malaysia sekarang.

” Untuk semua ini dan banyak lagi kerajaan Ismail Sabri meluluskan 2.7 ekar tanah bernilai RM60 juta selebihnya dan akan bangunkan sebuah rumah bernilai RM40 juta kerana mengenang “jasa” Najib.

“Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berjaya memerdekakan negara hanya dapat sebuah rumah papan. Rumah Tun Razak dijadi monumen. Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah dapat rumah kerajaan yang sedia ada,” jelas Dr Mahathir.

Beliau berkata, Najib yang menghancurkan negara sehingga menjadi kleptokrasi pula akan diberi RM100 juta tanpa dilulus oleh Parlimen – bahkan dirahsia.

” Najib membuat permohonan sedangkan bekas Perdana Menteri lain tidak buat permohonan untuk tanah tertentu. Sama ada kerajaan susulan hendak balas budi atau tidak adalah hak kerajaan.

” Dunia ketawa melihat Malaysia di mana seorang banduan yang lesapkan berbillion ringgit begitu disanjung tinggi dan dihormati.

“Sebagaimana biasa Najib cuba salahkan saya kerana buat pindaan pada tahun 2003 kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980. Pindaan itu bertujuan untuk Kerajaan menimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka. Biasanya ganjaran yang diberi ialah rumah kerajaan yang sedia ada.

” Ia tidak bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas Perdana Menteri,” tegas beliau.

Pun begitu, 19 November lalu, Najib mengumumkan keputusannya menolak tawaran peruntukan tanah bernilai RM100 juta oleh kerajaan kepadanya seperti dilaporkan sebelum ini.

Menurut bekas Perdana Menteri keenam itu, tindakan tersebut diambil selepas isu peruntukan berkenaan dijadikan modal politik oleh pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat