KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan amaran jelas dan tegas bahawa tiada ahli politik akan dilindungi sekiranya terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah yang menyalahgunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau menegaskan, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau latar belakang politik mereka.
Anwar berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam perkara itu, malah sanggup mengambil risiko politik bagi memastikan setiap individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
“Jika ahli politik juga terbabit, tiada siapa (akan dibiar terlepas).
“Percayalah, ini adalah risiko yang saya ambil supaya mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan,” katanya ketika berucap kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Butterworth, menurut BH pada Ahad.
Anwar turut mengakui terkejut apabila aset ketenteraan seperti pesawat TUDM boleh dieksploitasi sindiket untuk kegiatan penyeludupan dadah.
Lebih mengejutkan, beliau berkata, rangkaian kegiatan itu dipercayai tidak terhad kepada TUDM semata-mata.
Beliau menegaskan, kegiatan berkenaan perlu dibanteras bagi memastikan institusi pertahanan negara tidak dijadikan alat oleh sindiket jenayah untuk kepentingan mereka.



