SIBURAN -Semua parti politik yang bercita-cita membentuk kerajaan Persekutuan dijangka memerlukan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang mungkin berlangsung seawal tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kedudukan GPS semakin penting dalam menentukan kepimpinan negara apabila gabungan itu terbukti memainkan peranan besar dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15.
Beliau berkata, meskipun GPS hanya memiliki 23 kerusi Parlimen ketika itu, sokongan gabungan berkenaan menjadi faktor penting dalam menentukan pihak yang menerajui kerajaan Persekutuan.
“Untuk membentuk kerajaan Malaysia, siapa yang akan memimpin, semua memerlukan sokongan daripada Sarawak.
“Ketika kita hendak membentuk kerajaan, kita hanya ada 23 kerusi daripada GPS. Tetapi siapa yang menentukan siapa akan memimpin Kerajaan Perpaduan? GPS.
“Ada suara walaupun jumlah kita 23,” katanya ketika berucap di Siburan, Ahad.
Mengulas kemungkinan PRU-16 diadakan lebih awal, Fadillah berkata beliau melihat pilihan raya umum itu berkemungkinan berlangsung tahun depan, meskipun tempoh selewat-lewatnya adalah pada 2028.
“Saya melihat mungkin tahun depan kita akan mengadakan pilihan raya umum, selewat-lewatnya awal 2028,” katanya.
Menurut beliau, kedudukan GPS dalam politik nasional perlu terus diperkukuh bagi memastikan Sarawak mempunyai suara lebih besar dalam menentukan hala tuju dan kepimpinan kerajaan Persekutuan selepas PRU-16.
Malah, beliau menegaskan kemenangan besar GPS penting bukan sahaja dalam PRN Sarawak, tetapi juga pada peringkat pilihan raya umum bagi membolehkan gabungan itu terus memainkan peranan dalam mencorakkan kepimpinan negara.
“Kalau kita menang besar, kita juga kena pastikan GPS menang besar pada PRU-16 supaya kita boleh mencorakkan kepimpinan di peringkat nasional,” katanya.
Fadillah turut menyentuh perkembangan membabitkan beberapa parti politik dari Semenanjung, termasuk Barisan Nasional (BN), Pas, Bersatu dan PKR, yang menurutnya mengambil kira kepentingan sokongan Sarawak dalam percaturan politik nasional.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyeru jentera parti supaya memperhebat gerak kerja kempen secara tersusun sepanjang tempoh 13 hari bagi memastikan calon GPS memperoleh kemenangan pada hari pengundian, 12 Disember.



