KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Sri Sanjeevan Ramakrishnan mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meletakkan jawatan atas prinsip akauntabiliti politik susulan beberapa kes pertuduhan jenayah membabitkan warga institusi pertahanan negara.
Beliau berkata, Mohamed Khaled perlu memikul tanggungjawab politik berikutan timbulnya persoalan serius mengenai kawalan dan keselamatan aset ketenteraan serta keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan.
“Ini bukan soal menghukum sesiapa sebelum keputusan mahkamah. Ini soal tanggungjawab politik dan keyakinan rakyat.
“Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak boleh sekadar berselindung di sebalik siasatan yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sanjeevan yang juga Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia merujuk kepada pertuduhan terhadap enam individu termasuk tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membabitkan pengedaran kira-kira 96.2 kilogram methamphetamine di Pangkalan Udara Subang.
Menurutnya, meskipun kesemua individu terbabit belum disabitkan kesalahan, dakwaan bahawa kemudahan pangkalan udara digunakan sindiket dadah menimbulkan persoalan serius mengenai kawalan dan keselamatan aset tentera.
Beliau turut membangkitkan kes bekas Panglima Angkatan Tentera yang didakwa pada Januari lalu atas pertuduhan salah guna kedudukan, menerima wang dan pecah amanah dana RM3 juta.
Bekas panglima berkenaan mengaku tidak bersalah dan Sanjeevan menegaskan bahawa proses mahkamah mesti dihormati.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kepada pengunduran Menteri Pertahanan Estonia dan Latvia sebagai contoh bagaimana tanggungjawab politik dipikul apabila berlaku kelemahan dalam portfolio pertahanan.
“Atas prinsip akauntabiliti dan kompas moral kepimpinan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin wajar meletakkan jawatan. Maruah institusi pertahanan dan keyakinan rakyat mesti diutamakan,” katanya.



