Saya Tak Tahu Suami dan Anak Zeti Terima Wang 1MDB – Mahathir

- Advertisement -

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui berhubung dakwaan bahawa suami dan dua anak bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz menerima wang daripada 1MDB.

Katanya, ini termasuk ketika beliau melantik Zeti ke Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) pada 2018 yang berperanan menasihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu tentang hal ehwal ekonomi.

“Saya tak tahu. Tetapi Zeti menunjukkan prestasi yang sangat bagus sebagai pegawai bank. Sebagai pegawai bank pusat, beliau dikenali di seluruh dunia. Saya lantik seseorang yang sangat terkenal.

“Saya tak tahu berkenaan dengan anak dia apa semua itu. Itu hal dialah.

“Tetapi sebagai pegawai bank pusat, dia yang terbaik yang kita pernah ada untuk jangka masa yang lama,” katanya.

Mahathir berkata demikian dalam wawancara bersama Malaysiakini selepas ditanya sama ada beliau mengetahui dakwaan bahawa wang 1MDB disalurkan ke akaun yang dikendalikan suami Zeti, Tawfiq Ayman, ketika melantiknya sebagai sebahagian daripada CEP.

Semalam, polis mengesahkan sudah mengambil keterangan Tawfiq bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Zainuddin Yaacob berkata, salah seorang anak lelaki Tawfiq juga hadir untuk dirakam percakapan kepada polis.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, beliau memang ada berhubung dengan Zeti sejak Najib Razak masih lagi menjadi perdana menteri.

Beliau mendakwa Zeti mengetahui mengenai jumlah wang luar biasa di dalam akaun bank Najib dan mahu mengambil tindakan ke atas bekas perdana menteri itu, tetapi rancangan itu gagal direalisasikan.

“Sebenarnya, semasa Najib (menjadi perdana menteri) lagi saya bercakap dengan Zeti. Zeti yang bagi tahu pada saya (bahawa) Najib ada duit banyak dalam bank.

“Dia kata nak ambil tindakan. Dia cuba. Lepas itu entah apa yang Najib buat, dia tak beranilah.

“Kumpulan empat orang itu, ketua polis (ketika itu) cerita pada Najib tentang kumpulan empat orang ini. Peguam negara dipecat.

“Najib hancurkan kumpulan empat orang tersebut,” katanya, merujuk kepada empat pegawai tinggi kerajaan ketika itu, iaitu Peguam Negara Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamad, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Zeti sendiri.

Mereka dikatakan mempunyai rancangan untuk mengambil tindakan ke atas Najib berhubung skandal 1MDB.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka, iaitu Gani, Abu Kassim dan Zeti dikatakan “dikhianati” apabila rancangan mereka dibocorkan kepada Najib sehingga mereka digantikan pada 2016.

Bulan lepas, Bernama melaporkan polis mengesahkan siasatan ke atas Tawfiq berhubung dakwaan penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura masih berterusan.

Sebelum ini, Zeti dilapor menafikan dakwaan keluarganya terbabit dalam skandal 1MDB. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat