“Saya tidak akan jadi pengkhianat, jual Umno” – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berikrar tidak akan sesekali menggadai maruah dan masa depan parti itu walau apa pun keputusan yang bakal dipilih kepimpinan dalam mencorak hala tuju Umno.

“Yakinlah, apa pun keputusan kita (Umno) ambil, kita tidak sesekali akan menggadai maruah dan masa depan parti.

“Saya tidak akan menjadi pengkhianat atau merelakan mana-mana pihak, menjadikan parti keramat ini sebagai bahan dagangan,” tegas Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden ketika PAU 2024, pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, Umno perlu lebih strategik dalam semua pendekatannya memandangkan senario politik semasa yang bergerak pantas dan berdaya saing.

Kata Zahid, Umno tidak boleh selesa dengan cara lama.

“The difference between ordinary and extraordinary is that little extra”. Ini membawa makna, dalam kita mengatur hala tuju dan memberi pengisian kepada perjuangan kita – yang benar-benar dapat membezakan Umno dengan parti lain adalah, kesanggupan untuk melakukan anjakan usaha dan melangkaui batas kebiasaaan.

“Saya pasti di hadapan saya, baik yang berada di pekan, bandar mahupun desa – ingin melihat Umno kembali gemilang. Justeru, kita mesti bersama-sama menggarap usaha ini. Kita tidak boleh bergantung kepada tuah semata-mata. “Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayan”, ujar Zahid.

Mengulas lanjut, Zahid memberitahu jika dilihat daripada kedudukan sekarang kesemua parti memiliki antara 30 hingga 40 kerusi di Parlimen.

Justeru katanya, keadaan ini turut menjadikan amalan demokrasi di Malaysia perlu kepada satu kematangan. Ini kerana tiada satu parti atau gabungan menguasai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Malah terdapat beberapa kajian dan dapatan menjangkakan, keadaan yang sama akan berlaku pasca PRU Ke-16 yang akan datang.

“Sebagai parti, keadaan ini tentunya menjadi laluan yang sukar. Namun ia membuka ruang kepada semua parti untuk mencari titik persamaan atas kemaslahatan negara. Kerjasama antara parti untuk menubuhkan kerajaan, dilihat sebagai natijah paling besar dengan perubahan landskap politik masa kini.

“Dengan sebab itu, usaha-usaha untuk memastikan agar Umno terus dominan dalam erti kata menguasai dan mempunyai kelebihan di tengah-tengah perubahan lanskap amat penting. Saya sebelum ini telah berulang kali menyentuh soal dominan kembali.

“Untuk itu, suka saya jelaskan dominan dalam erti kata iaitu Umno mesti dominan dari segi bilangan kerusi, ini menuntut semua Umno bahagian yang Parlimen dan DUN yang kalah, perlu merencana usaha untuk menawan semula kerusi-kerusi berkenaan.

“Kita mesti dominan dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian.Kita mesti dominan dalam ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Islam dan Melayu/Bumiputera.

“Selain itu, kita mesti dominan dalam menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Zahid memberitahu faktor kedua dan ketiga telahpun Umno lalui selepas PRU-15 yang lalu.

“Kita berunding membentuk perkongsian. Kita menetapkan syarat-syarat kerjasama sehingga termeterainya perjanjian membentuk Kerajaan Perpaduan. Keempat-empat faktor ini, bukan sahaja berkait dengan soal kelangsungan parti tetapi mampu menjadikan parti kita sebagai penentu dalam soal pembentukan kerajaan.

“Saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan Umno terus mengatur langkah. Meneroka pelbagai bentuk kerjasama demi kelangsungan wadah. Alhamdulillah, kita hanya menjadi pembangkang selama 22 bulan.

“Dalam keadaan getir, penuh dengan cabaran dan penghinaan, kita menyusun strategi dan perancangan. Sehingga ke hari ini, Umno tidak karam dalam gelombang perubahan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat