Mahkamah Tolak Saman Warisan Terhadap ADUN Keluar Parti

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak saman Setiausaha Agung Parti Warisan (WARISAN), Datuk Loretto Padua terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berikutan tindakan wakil rakyat itu keluar WARISAN pada 25 Februari tahun lalu.

Hakim Wong Siong Tung membuat keputusan itu pada prosiding menerusi persidangan video melalui aplikasi Zoom selepas mendengar hujah daripada pihak plaintif dan defendan.

Siong Tung antara lain menjelaskan keputusan menolak saman itu berdasarkan perkiraan bahawa seseorang ahli perundangan yang dipilih haruslah bebas untuk bertindak mengikut kemampuan terbaik.

Katanya, seseorang itu tidak seharusnya dikekang oleh kewajipan undang-undang sama ada kepada partinya atau pengundi mahupun tertakluk kepada telunjuk sesiapa.

“Sebarang pengaturan yang membelenggu atau melucutkan kebebasan ahli badan perundangan yang dipilih itu akan bertentangan dengan dasar awam dan menyalahi undang-undang.

“Sebarang alasan tindakan berdasarkan pengaturan sedemikian untuk melucutkan kebebasan itu tidak boleh dikekalkan dalam undang-undang. Penalti yang sesuai bagi ahli perundangan yang dipilih untuk janji politik yang dimungkiri adalah bagi pengundi atau pemilih mempertimbangkan untuk mengundi secara berbeza pada peluang seterusnya,” katanya.

Melalui saman itu, Loretto berusaha untuk menguatkuasakan ‘Ikrar Kesetiaan’ dan surat peletakan jawatan tanpa tarikh yang ditandatangani sebelumnya yang mana kedua-duanya didakwa dilakukan dan ditandatangani oleh Hassan.

Loretto mendakwa, Hassan berada di bawah kewajipan khas atau kewajipan saksama untuk mengosongkan kerusinya sekiranya beliau melanggar Ikrar Kesetiaan yang didakwa.

Sementara itu, peguam Hassan, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad, dalam hujahnya pula berkata apa yang dipanggil Ikrar Setia dan surat peletakan jawatan tidak bertarikh oleh WARISAN yang didakwa ditandatangani sebelumnya oleh Hassan adalah skim yang menyalahi undang-undang bertujuan untuk mengawal, menyekat dan membelenggu hak perlembagaan ADUN.

Katanya, perkara itu terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak berpersatuan dengan, atau berpisah daripada mana-mana parti politik.

“Apabila menjadi jelas kepada anak guam saya bahawa WARISAN tidak dapat memenuhi keperluan atau membawa pembangunan kepada kawasan pengundinya, dia secara sah dan betul, menggunakan hak perlembagaannya dan memisahkan dirinya daripada WARISAN.

“Hak seorang ADUN adalah untuk mengutamakan kepentingan terbaik untuk pengundinya dan adalah asas kepada sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Keperluan parti politik tidak boleh diutamakan sebelum kepentingan rakyat,” katanya.

Berikutan itu, hakim membenarkan permohonan Hassan untuk membatalkan saman Loretto dengan kos dibayar kepada Hassan sebanyak RM5,000.

Hassan diwakili oleh Tengku Fuad dan Wilson Chang, manakala Loretto diwakili hakim Goldam Hamid dan Syful Sufyian Sidin.

Hassan yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah ADUN WARISAN pertama meninggalkan parti itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, sebelum disusuli Datuk Dr Yusof Yaacob (ADUN Sindumin), Datuk Mohamadin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan yang terbaru Rina Jainal (Kukusan). – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat