KUALA LUMPUR – Kematangan politik bermula apabila kita memahami bahawa parti politik adalah alat untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan agama yang wajib ditaati tanpa soal, kata Exco Wanita Umno Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid
Jelasnya, begitu juga dengan kesetiaan kepada parti tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada agama, negara dan kebenaran.
“Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia, kita perlu belajar menilai sesuatu berdasarkan fakta, prinsip dan adab, bukan semata-mata emosi atau ketaksuban.
“Apabila agama dijadikan alat politik, agama akan dipolitikkan.
“Apabila bangsa dijadikan senjata politik, bangsa akan dipecahkan. Tetapi apabila agama menjadi panduan dan bangsa menjadi asas perpaduan, politik akan kembali menjadi medan khidmat kepada rakyat,” katanya.
Anak Presiden Umno itu berkata demikian merujuk kepada kenyataan seorang pengulas politik Tajuddin Rasdi menuduh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mempamerkan sikap perkauman selepas beliau mengisytiharkan lebih rela tidak menjadi menteri besar daripada bekerjasama dengan DAP.
Menurut Nurulhidayah, salah satu cabaran terbesar dalam masyarakat hari ini ialah apabila parti politik, agama dan bangsa sering dicampur-adukkan sehingga ramai gagal membezakan antara ketiga-tiganya.
“Parti politik adalah sebuah organisasi yang diwujudkan oleh manusia. Ia boleh berubah, bertukar pemimpin, melakukan kesilapan dan menerima kritikan. Menyokong atau tidak menyokong sesebuah parti adalah hak setiap individu dalam sistem demokrasi.
“Namun agama, khususnya Islam, adalah wahyu dan petunjuk daripada Allah SWT. Islam tidak bergantung kepada mana-mana parti politik untuk terus wujud, berkembang atau dipertahankan. Islam lebih besar daripada mana-mana parti, pemimpin atau kelompok manusia.
“Begitu juga dengan bangsa. Bangsa adalah identiti dan warisan yang perlu dipelihara. Cinta kepada bangsa tidak bermaksud kita mesti taksub kepada mana-mana parti politik tertentu. Bangsa akan terus wujud walaupun parti politik berubah mengikut zaman.
“Apabila seseorang mengkritik sebuah parti, ia tidak bermakna dia mengkritik Islam. Apabila seseorang tidak menyokong sesebuah parti, ia tidak bermakna dia membenci bangsanya sendiri.
“Sebaliknya, apabila seseorang menyalahgunakan agama atau sentimen bangsa untuk menutup kelemahan politik, masyarakat perlu berani membezakan antara prinsip dan kepentingan politik,” katanya.



