TNB Tunai Impian Ibu Tunggal Miliki Rumah Sendiri

- Advertisement -

KEMAMAN – Setelah 15 tahun tinggal menyewa di sebuah rumah kedai kayu yang usang, impian ibu tunggal ini untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai hasil keperihatinan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR).

S. Srivalli, 49, bersyukur terpilih untuk menerima rumah seluas 640 kaki persegi itu, kerana anak-anaknya dapat berteduh di tempat yang lebih selesa, memandangkan rumah sewanya bukan sahaja dinding dimakan anai-anai, malah bahagian bumbung pula bocor.

“Sebelum ini saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa akan diberikan rumah secara percuma tetapi saya tidak percaya dan menyangka dia hanya bergurau. Sehinggalah sekitar bulan Julai wakil dari TNB datang menunjukkan surat tawaran pemberian rumah. Pada waktu itu saya rasa seperti bermimpi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Rasmi PMR oleh TNB di rumah baharunya itu di Kampung Batu 6 di Ayer Jerneh, di sini hari ini.

Ibu kepada tiga anak yang berusia 21 hingga 15 tahun itu juga berasa lega, kerana tidak perlu lagi membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan.

Beliau yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan RM1,200 sebulan itu berkata, kehidupannya semakin sukar apabila suaminya R. Rajamani meninggal dunia pada 2016.

Pelbagai rintangan terpaksa dilalui setelah menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak sendirian, termasuk terpaksa mengikat perut bagi membolehkan anak-anaknya mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

“Sebelum ini saya seorang suri rumah dan ketika suami meninggal dunia kami hilang tempat untuk bergantung harap. Mujurlah ada jiran dan kawan yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga. Saudara-mara yang tinggal di negeri lain pun sudi menghulurkan bantuan,” katanya.

Meskipun dihimpit kesusahan, wanita ini sentiasa mengutamakan pendidikan anak-anaknya dan kini beliau boleh tersenyum bangga apabila anak sulungnya R.Rajkiren berjaya melanjutkan pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Marin di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sementara itu Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Omar Sidek berkata, rumah yang dilengkapi tiga bilik, ruang tamu, dapur dan tandas itu siap dibina pada bulan November 2020 dengan kos RM50,000 dan pembinaannya mengambil masa lebih kurang dua bulan.

Katanya bermula tahun 2020 TNB melalui PMR menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan membina rumah baharu kepada golongan B40 bukan Muslim.

“PMR ini telah bermula sejak 2012, namun pada waktu itu kita hanya membaiki rumah golongan B40 yang bukan Muslim dengan peruntukkan RM10,000 untuk setiap penerima. Bermula 2020 kita memulakan projek membina rumah baharu dengan kos RM50,000 seunit.

“Ini bermakna Srivalli dan seorang lagi penerima berbangsa Cina di Wakaf Tapai di Marang, merupakan yang pertama menerima rumah baharu di bawah projek ini,” katanya sambil memaklumkan pemberian rumah baharu kepada golongan B40 yang Muslim pula, dilaksanakan di bawah Projek Baiti Jannati (PBJ) menerusi konsep zakat. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat