Perak bakal menyaksikan satu pilihan raya kecil (PRK) selepas kematian mengejut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.
Sehubungan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan Barisan Nasional (BN) Perak untuk segera memulakan aktiviti dan program bagi menghadapi PRK tersebut.
“Pagi ini, saya menerima panggilan daripada timbalan perdana menteri, yang juga presiden Umno (Zahid),” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang juga pengerusi BN negeri.
“Kami membincangkan perkara itu dan memutuskan bahawa kami tidak akan menunggu pengumuman SPR (untuk tarikh PRK).
“Sebaliknya, kita akan segera memulakan program dan aktiviti yang tertumpu kepada memenangi PRK,” katanya seperti dipetik oleh New Straits Times.
Saarani bercakap kepada pemberita di luar Masjid An-Nur, tempat solat jenazah Allahyarham Ishsam diadakan.
Notis Kekosongan Kerusi Akan Dihantar Kepada SPR
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi Ayer Kuning seawal Selasa.
Mengikut peraturan, PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi kekosongan kerusi tersebut.
PRK terakhir yang diadakan di Perak adalah bagi kerusi DUN Slim pada 29 Ogos 2020.
Ishsam Shahruddin Meninggal Dunia Selepas Rebah Di Padang Bola
Allahyarham Ishsam, 59, dilaporkan rebah selepas menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang, semalam.
Jenazahnya dibawa pulang ke kediamannya sekitar jam 12.30 pagi selepas selesai bedah siasat di Hospital Pulau Pinang.
Kemudian, jenazahnya dibawa ke Masjid An-Nur untuk dimandikan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Rapat Setia.
Ishsam merupakan bekas pemain bola sepak negeri Perak dan membuat penampilan sulung dalam arena politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada pilihan raya tersebut, beliau berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Kuning setelah menewaskan empat calon lain dengan majoriti 2,213 undi.