Sektor pawagam bakal lumpuh?

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pembukaan pawagam selepas beberapa sektor ekonomi termasuk perkhidmatan bukan keperluan utama dibenarkan beroperasi.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth berkata, diskriminasi dari segi operasi itu hanya akan terus melumpuhkan ekonomi sektor pawagam.

“Mengapa pawagam masih ditutup sedangkan aktiviti riadah lain seperti gimnasium, spa dan kasino dibenarkan kembali berniaga? Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula secara serius keputusan mereka untuk membenarkan kami kembali beroperasi.

“Industri pawagam tidak lagi mampu menanggung penutupan lebih lama dan ia pasti akan lumpuh. Ia sekali gus menjejaskan kehidupan setiap rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam keseluruhan rantaian bekalan,” katanya.

Mohd Ghazali berkata, negara seperti Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand, Indonesia dan India sudah membenarkan pawagam kembali beroperasi.

Katanya, arahan penutupan pawagam terus melumpuhkan industri pawagam Malaysia hingga mencatat kerugian sebanyak 90 peratus.

“Industri ini mengalami kerugian lebih RM500 juta tahun lalu. Ia jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya di mana industri ini secara keseluruhannya menyumbang lebih RM1.08 bilion pendapatan dan lebih RM250 juta cukai hiburan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, impak itu menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, banyak pawagam terpaksa gulung tikar dan semua pemilik pawagam terpaksa mengecilkan operasi mereka. Malah, ada dalam kalangan kakitangan pawagam terpaksa menerima potongan gaji sehingga 70 peratus.

“Kerugian paling besar setakat ini adalah pengunduran pengendali pawagam ketiga terbesar di Malaysia iaitu MBO Cinemas yang terpaksa melakukan pelupusan secara sukarela.

“Krisis kewangan itu melarat sehingga merangkumi rantaian bekalan yang lebih besar iaitu keseluruhan perniagaan hujung ke hujung termasuk syarikat-syarikat kecil dalam bidang pembuatan, logistik, pembersihan, makanan dan minuman serta peruncitan,” katanya.

Beliau berkata, MAFE sudah membuat beberapa rayuan secara bersama untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Antara permohonan diutarakan adalah pengecualian atau pengurangan cukai hiburan untuk pemamer filem. Mohd Ghazali berkata, walaupun RM225 juta sudah diperuntukkan bagi membiayai dan menyokong aktiviti kesenian, kebudayaan dan hiburan pada Jun tahun lalu, namun peruntukan berkenaan tidak termasuk untuk sektor pawagam.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat