‘Perit buat kami’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyifatkan situasi dialami memeritkan, pengusaha pusat hiburan karaoke yang sebelum ini ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akur tiga bulan selepas dibuka semula pada 15 Julai lalu, operasi terpaksa ‘direhatkan’ lagi akibat penularan COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasa kerajaan sehingga 27 Oktober memaksa operator pusat hiburan karaoke menutup premis masing-masing, biarpun dibeban kos penyelenggaraan peralatan dan lebih penting, tenaga kerja yang bergantung harap kepada pusat hiburan itu.

Umpama belum sempat menarik nafas lega, pengusaha karaoke terpaksa menyusun strategi mempertahankan perniagaan dalam situasi tidak menentu akibat penularan COVID-19.

Tiada pilihan, apatah lagi memikirkan aspek keselamatan pengunjung perlu diberi perhatian utama, pengusaha karaoke reda berdepan ujian biarpun resah mengenang prospek perniagaan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Music Box Karaoke, Michael Yong, berkata syarikat terpaksa akur dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mahu premis ditutup sepanjang PKPB.

“Sebaik PKPB dikuat kuasa, kami tidak dibenarkan beroperasi kerana premis terletak di bawah kategori pusat hiburan.

“Ibarat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Semua pihak berdepan kesulitan ketika pandemik ini menjelma. Begitu juga kami. Tiada daya bagi kami kerana apa yang diputuskan kerajaan adalah demi kebaikan bersama,” katanya kepada BH Online.

Ditanya apakah penutupan sementara pusat karaoke boleh memberi kesan buruk kepada kewangan syarikat malah tidak keterlaluan menghadapi kemungkinan ‘gulung tikar’, Yong bagaimanapun menjelaskan, Music Box Karaoke masih mampu bertahan.

“Situasi yang kita alami ini cukup memeritkan namun perlu diteruskan. Apatah lagi untuk meneruskan kelangsungan semua pihak yang bergantung harap kepada Music Box Karaoke.

“Kita berharap dalam tempoh dua minggu PKPB berkuat kuasa, kes musibah COVID-19 dapat dikawal semula. Jika kami dibenarkan beroperasi semula, datanglah beri sokongan kepada kami,” katanya.

Yong berkata, sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuat kuasa, perniagaan mula menunjukkan peningkatan.

“Boleh dikatakan aliran masuk dan perniagaan kembali okay 100 peratus seperti sebelum PKP. Namun, tiba-tiba, datang pula PKPB,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Music Box Karaoke, Michael Yong.
Ketua Pegawai Eksekutif Music Box Karaoke, Michael Yong.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Red Box, Giovann Ng mengaku situasi getir ketika ini cukup pahit untuk ditelan.

“Malangnya, kita berdepan dengan gelombang ketiga pandemik COVID-19. Ini detik mencabar buat kami hingga akur terpaksa menutup operasi premis di Lembah Klang sekali lagi.

“Hakikat impak pandemik ini terhadap perniagaan ini tidak boleh diduga.

“Namun, pada masa sama, kami faham situasi semasa membabitkan penularan COVID-19 semakin teruk. Lalu sama-sama kita bekerjasama dengan kerajaan untuk mencegah situasi ini daripada tidak terkawal,” katanya.

Giovann berkata, soal keselamatan dan nyawa pelanggan serta staf cukup penting buat syarikat.

“Sepanjang PKPB, kami akan terus melakukan operasi pembersihan premis sebelum dibenarkan beroperasi semula.

“Selama tempoh dibenarkan beroperasi, kami tidak pernah mengambil mudah dalam soal prosedur operasi standard (SOP).

“Baik dalam aspek penjarakan fizikal, sistem pendaftaran dan sanitasi, semuanya terus dipraktikkan setiap masa,” katanya yang menguruskan lapan cawangan dengan 200 pekerja.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat