DAP dan Amanah Gagal Sedari Realiti Politik Semasa

- Advertisement -

Kenyataan bersama Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) hari ini menunjukkan Pakatan Harapan (PH) tidak menyedari realiti politik negara sekarang.

Pertama, ada lompang besar dalam perihal mandat rakyat yang diperkatakan.

PH tidak menang kukuh dalam Pilihan Raya Umum lalu seperti yang digambarkan. Undi popular BN-PAS dan GPS melebihi undi popular PH.

Warisan bertanding sendiri di Sabah, tidak menggunakan logo PKR (seperti DAP, Amanah dan Bersatu) dan gagal merampas kerajaan negeri.

Datuk Seri Shafie Apdal hanya menjadi Ketua Menteri setelah melakukan ‘rampasan kuasa’ dengan bantuan tangan ghaib dari Persekutuan.

Kedua, kegagalan untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan selama 22 bulan hingga menyebabkan kerajaan Tun Dr Mahathir jatuh adalah manifestasi ketidakfungsian PH sebagai sebuah ikatan politik.

Jika perkara semudah menentukan tempoh peralihan kuasa pun gagal disepakati bagaimana rakyat boleh mengharap satu pengurusan negara yang cekap dari PH?

Maka selama 22 bulan mereka bukan sahaja gagal menyatukan semua kabilah-kabilah politik dalam PH, malah melemahkan fundemental ekonomi dan kewangan negara.

Ketiga, mereka gagal menyedari penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kritikan mereka bahawa pemberian monotarium kewangan selama 6 bulan dan isu bil elektrik semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai bukti kegagalan PN sangat melucukan.

Pemberian monotarium kewangan adalah langkah yang bukan sahaja dialu-alukan oleh rakyat tetapi juga ahli-ahli ekonomi. Ini satu lagi bukti mereka tidak menyedari realiti politik negara.

Manakala dalam isu bil elektrik ia sekali lagi membuktikan PN sebagai kerajaan yang mendengar suara hati rakyat.

Walaupun berhadapan beban kewangan yang besar, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah telah mengumumkan pemberian subsidi secara besar-besaran bagi meringankan beban rakyat melalui Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan.

Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik (dan Tambahan).

Bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih 300kWj – 599kWj sebulan pula akan menerima potongan bil sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan bagi bulan April, Mei dan Jun 2020.

Manakala pengguna blok tarif di antara 601-900kWj dengan bil elektrik di antara RM232.35 hingga RM395.60 akan menerima diskaun tambahan sebanyak 10 peratus.

Keempat, Barisan Nasional dan Pas tidak menjatuhkan kerajaan PH. Tun Mahathir yang menjatuhkannya dengan cara meletak jawatan.

Namun perlu direkodkan sejak berada dalam kerajaan, para menteri BN, terutamanya UMNO, telah melakukan tugas dengan cemerlang bagi membantu Perdana Menteri menyelesaikan isu-isu rakyat berhadapan pandemik Covid-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menguruskan hal keselamatan rakyat, Dr Adham Baba tunggak penting dalam menguruskan pencegahan dan pemulihan pandemik ini, Dr Shamsul Anuar menguruskan keperluan utiliti rakyat dan Datuk Seri Hishamuddin Hussien menguruskan puluhan ribu rakyat Malaysia yang terperangkap dalam PKP di luar negara.

Kesimpulannya, sehingga PH menyelesaikan isu kepimpinan mereka, usahlah berbicara soal mengambil alih semula pentadbiran negara.

Musuh sebenar rakyat bukan PN atau UMNO tetapi Lim Guan Eng dan Mohd Sabu yang berterusan memutar belit dan mengelirukan rakyat dengan fakta-fakta separuh benar dan janji yang tidak dapat ditunaikan.

Rakyat dan negara tidak sewajarnya terus diheret dalam sengketa Mahathir – Anwar selama berpuluh tahun ini. Berilah peluang negara ini ‘bernafas semula’ setelah tidak bermaya selama 22 bulan.

Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat