20 ahli sudah boleh tubuh koperasi-Wan Junaidi-

- Advertisement -

Masjid Tanah: Hanya 20 ahli diperlukan untuk menubuhkan koperasi berbanding 50 sebelum ini manakala bagi profesional, hanya lima ahli diperlukan untuk berbuat demikian.

Ia berikutan pindaan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) kepada Akta Koperasi (Pindaan) 2021 (A1634) yang sudah dikuatkuasakan pada 1 Mac lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan itu sejajar Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021-2025 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Beliau berkata, pindaan itu bertujuan menggalakkan penubuhan koperasi di negara ini, berbanding lebih 14,000 jumlah keseluruhan koperasi sedia ada dengan keahlian seramai 6.9 juta orang.

“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan membantu anggota komuniti berminat menubuhkan koperasi dan dengan adanya pindaan akta itu, penubuhan koperasi menjadi lebih mudah.

“Bagi golongan profesional seperti doktor, peguam, arkitek, jurutera dan seumpamanya, mereka harus membuktikan kepada SKM mereka profesional sebelum menubuhkan koperasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat SKM Cawangan Masjid Tanah dan menyampaikan pelbagai pembiayaan kepada usahawan dan koperasi, di sini hari ini.

Antara pembiayaan itu ialah Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) sebanyak RM1.2 juta kepada 11 koperasi, selain bantuan Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) dan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kepada 10 usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Hadir sama, Timbalannya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Wan Junaidi berkata, daripada lebih 14,000 jumlah koperasi sedia ada, kira-kira 4,000 tidak aktif yang diibaratkan seperti ‘hidup segan, mati tak mahu.’

Bagaimanapun, katanya, SKM tidak sewenang-wenangnya menghentikan operasi koperasi tidak aktif, sebaliknya berusaha sedaya upaya menyelamatkannya.

“MEDAC menjemput lebih ramai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkasa perniagaan melalui platform e-dagang.

“Ini kerana ia memberi impak positif kepada perniagaan usahawan PKS dan mikro yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk bangkit semula,” katanya.

_hariametro_

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat