Model khas K11 atasi isu keciciran pelajaran anak Orang Asli

- Advertisement -

KUALA LIPIS – Masalah keciciran pelajaran dalam kalangan anak Orang Asli boleh diatasi melalui pelaksanaan pengoperasian sekolah model khas Komprehensif 11 (K11).

Setakat ini, model khas K11 itu sudah dilaksanakan secara rintis di Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau dan sudah menunjukkan hasil positif.

SK RPS Betau berada dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Jelai.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan pelaksanaan K11 di sekolah berkenaan akan diperluaskan ke kawasan penempatan Orang Asli lain secara berperingkat bagi memastikan anak Orang Asli di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan lebih sempurna.

“Ini adalah antara perjuangan saya sebagai wakil rakyat DUN Jelai dan pada asalnya saya memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk sekolah tingkatan satu hingga lima, tapi mereka luluskan (sekolah) hingga tingkatan tiga saja.

“Saya mengemukakan sekali permohonan baru-baru ini kerana kalau kita tidak menyediakan kemudahan (sehingga tingkatan lima), ia tidak akan menyelesaikan isu keciciran pelajaran dalam kalangan anak Orang Asli.

“Ini kerana selepas tingkatan tiga, mereka (anak Orang Asli) terpaksa ke Lipis atau Sungai Koyan untuk menyambung pelajaran (di tingkatan empat dan lima) dan ini merisaukan saya, bila mereka balik rumah, mereka tak nak datang dah ke sekolah (sebab jarak yang agak jauh),” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jerkoh, dekat Benta, Lipis, hari ini.

Turut hadir Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Ketika diminta mengulas mengenai penganjuran rumah terbuka itu pula, Wan Rosdy berkata ia adalah sebagai tanda terima kasih kepada semua rakyat Pahang yang sentiasa berusaha mengekalkan keharmonian dan kestabilan di negeri ini.

“Kehadiran pelbagai kaum untuk sama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina menunjukkan rakyat Pahang matang dalam semua perkara dan tidak menjadikan perbezaan sebagai penghalang untuk berkongsi kegembiraan setiap kali perayaan kaum tertentu diraikan,” katanya.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat