Parti Bangsa Malaysia disertai 50,000 ahli, sedia betulkan kerencatan politik negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dilancarkan hari ini menerima penyertaan 50,000 ahli NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN).

Agenda utama memacu kepada penubuhan PBM ialah “The Great Reset 2030” dengan misi membetulkan apa yang mereka anggap sebagai kerencatan dan ketidakmatangan politik Malaysia selama 30 tahun dari kedua-dua belah pihak – kerajaan dan pembangkang.


Pengerusi PKN, Nor Hizwan bin Ahmad berkata pada majlis pelancaran “The Great Reset 2030” bahawa ahli PKN yang berbilang kaum kini akan menggunakan PBM sebagai platform politik mereka dan mahu agenda utama mereka, The Great Reset 2030, didengar dan diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.

“30 tahun kerencatan dan ketidakmatangan politik dari kedua-dua belah jurang politik – kerajaan dan pembangkang – telah merugikan kita semua rakyat Malaysia.

“Data IMF (International Monetary Fund) terkini menunjukkan Singapura berada di kedudukan ke-7 dalam ranking KDNK per kapita dunia manakala Malaysia berada di kedudukan ke-66. Pada ketika ini KDNK per kapita Singapura ialah USD 63,645 manakala Malaysia ialah USD 11,378.

“59 anak tangga memisahkan kedua-dua negara jiran ini dengan jurang pendapatan negara per kapita sebanyak USD 52,000. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan Malaysia. Data dari IMF ini menunjukkan Malaysia, selama 30 tahun telah berkembang dengan sangat perlahan dan kita mesti menangani masalah besar ini sekarang. Oleh yang demikian, solusi untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan melaksanakan The Great Reset 2030 dan menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat sama dalam melaksanakan anjakan ini,” kata Nor Hizwan.

Jelas beliau lagi, pemimpin milenial gerakan akar umbi yang mempunyai 50,000 orang ini menjelaskan bahawa agenda anjakan baharu ini bukan sahaja bertujuan untuk merapatkan jurang antara pendapatan per kapita Malaysia dan Singapura, tetapi juga untuk menetapkan semula apa yang beliau gelarkan sebagai “masalah sistemik yang hebat” dalam sosio-politik, sektor pendidikan, ekonomi dan teknologi
Malaysia.

“Sebagai seorang milenial, saya bercakap untuk ahli milenial dan zoomer yang lain, bahawa kita sudah muak dengan retorik politik yang sarat dengan agenda perkauman yang dilakukan oleh pelbagai pihak selama 64 tahun yang lepas. Tindakan mereka telah memecah belahkan negara ini.

“Kami telah menyertai PBM kerana kami mahukan platform politik berbilang kaum, inklusif yang relevan sepenuhnya untuk rakyat progresif.

“Fakta dan data sudah menunjukkan yang kita adalah negara berpendapatan rendah, negara Dunia ke-3 yang tidak dapat merentasi pentas global. Kita juga tidak cemerlang jika dibandingkan di dalam 10 negara anggota Asean yang lain. Sesetengah pihak, mungkin untuk menghiburkan diri mereka sendiri, sering menggelar Malaysia sebagai sebuah “negara membangun”.

“Kita tidak boleh terus memanggil diri kita sebagai negara “membangun” selepas 64 tahun. Apakah sebenarnya yang kita telah bangunkan selama lebih 6 dekad ini? Ekonomi kita masih banyak bergantung kepada minyak mentah, minyak sawit dan sektor-sektor ekonomi lama yang lain seperti pembuatan alat ganti dan komponen. Kita boleh mengekalkan sektor-sektor ini tetapi kita memerlukan industri baharu. Kita
perlukan pemimpin yang berwawasan. Kita perlukan kuasa politik. Jika tidak, kita akan semakin ketinggalan.

“Buat pertama kalinya dalam jangka masa 240 tahun, terdapat lima gangguan teknologi besar yang berlaku sekarang secara serentak di negara-negara maju, yang mana akan menetapkan semula dunia menjelang 2030. Ia akan mengubah semula cara kita hidup, bekerja dan berhibur. Malaysia tidak mempunyai pelan induk untuk ini,” tegasnya.

Selain itu Nor Hizwan mengenal pasti 5 perubahan teknologi besar itu sebagai Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence atau A.I.), Robotik, Penjujukan Genom (Genom Sequencing), Blockchain dan Penghasilan Tenaga Bersih.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia bukanlah pemain atau peserta Revolusi Perindustrian 4.0 tetapi sebaliknya hanya menjadi penonton.

“Saya mempunyai carta data 240 tahun di sini yang menunjukkan perubahan teknologi yang hebat sejak 1780. Dalam tempoh masa 240 tahun ini, daripada penciptaan enjin wap kepada elektrik ke telefon ke televisyen ke internet, setiap perubahan teknologi utama serta penggunaannya telah berlaku satu demi satu dalam sejarah kita. Tetapi kini, 5 komponen ini berlaku pada masa yang sama. Mereka akan meletus dan kesan yang amat besar akan dapat dilihat pada sekitar tahun 2030.

“Adakah kita bersedia dari segi intelek, politik, ekonomi, dan sosial untuk menerima pakai 5 teknologi ini? Siapakah yang mengetuai perkara ini di Malaysia pada masa ini? Jadi sekarang, kita mahu PBM memimpin perubahan ini sebagai kuasa politik. The Great Reset 2030 adalah agenda utama parti dan merupakan satu perjuangan kami,” jelasnya.

Kata beliau, pelancaran Great Reset 2030 pada 21 Disember 2021 ini akan menggerakkan usaha parti untuk merekrut lebih ramai ahli terutamanya wanita, milenial dan Gen Z.

Nor Hizwan menjelaskan lagi bahawa PBM tidak melihat dirinya sebagai parti politik alternatif tetapi sebagai kuasa utama dalam
arena politik nasional.

“Kami di sini bukan untuk menjadi parti politik kelas kedua. Kami di sini untuk menggegarkan negara. Ini satu kejutan atau wake up call untuk kita semua.

“Pergerakan akar umbi kami yang berjumlah 50,000 orang adalah satu kuasa yang perlu dipandang serius. Kami akan terus memperkasakan kekuatan kami dan berusaha untuk menjadi lebih besar dari semasa ke semasa apabila lebih ramai wanita, generasi milenial dan zoomer menyertai kami.

“Kita sebagai sebuah negara tidak boleh lagi bergantung kepada sistem politik lapuk yang berasaskan etnik kerana ia telah terbukti tidak mampu untuk membawa kita ke arah yang lebih maju. Lihat sahaja Singapura yang semakin makmur, manakala kita pula semakin lama semakin ketinggalan.

“Namun begitu, sekiranya seluruh rakyat Malaysia dapat bangkit dan bersatu hati, The Great Reset 2030 akan berupaya menjadi satu wadah untuk menyelamatkan Malaysia,” jelas Nor Hizwan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat