“Saya jalankan tanggungjawab bagai musibah ini berlaku kepada keluarga sendiri” – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini sekali lagi mendapatkan perkembangan terkini situasi banjir daripada Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta wakil kementerian yang terlibat.

Katanya, hasil taklimat dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri tadi, beliau juga menerima laporan terkini situasi banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

“Selain perkembangan jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS), saya turut menegaskan terhadap langkah-langkah pemulihan pasca banjir yang perlu dilakukan bagi membantu penduduk.

“Ini termasuk membaik pulih infrastruktur awam seperti penyelenggaraan sistem saliran, pembersihan rumah penduduk serta senarai nama mangsa banjir yang terjejas bagi pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah.

“Saya juga tegaskan, BWI ini akan diberikan kepada ketua isi rumah setiap kali mereka terjejas dengan bencana banjir,” katanya dalam catatan di Facebook pada Selasa.

Perdana Menteri sekali lagi mengarahkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan Negeri serta semua agensi terlibat mesti melipatgandakan segala usaha dan kerja-kerja menyelamat serta membantu mangsa banjir di semua tempat terjejas.

“Petang semalam saya juga telah arahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), untuk mengoperasikan pam air mudah alih di Taman Sri Muda, Klang untuk mengepam keluar air genang ke Sungai Klang.

“Bermula jam 2.30 pagi tadi, sebanyak 21 buah pam air sudah beroperasi di Taman Sri Muda yang terjejas teruk akibat banjir,” ujarnya.

Kata beliau, penekanan juga dibuat bahawa segala tindakan respon bencana perlu digerakkan segera oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dengan dibantu oleh jawatankuasa yang sama di peringkat negeri.

“Ketetapan ini sudah ada dalam prosedur standard operasi bencana.

“Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat khususnya Pejabat Daerah dan Kerajaan Negeri yang merupakan barisan hadapan dalam menangani bencana banjir,” ucap Ismail Sabri.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Perdana Menteri dalam kunjungannya di kawasan-kawasan terjejas banjir memberitahu, pada saat ini kebajikana golongan uzur dan anak-anak kecil harus diutamakan.

“Tanggungjawab saya merentasi langkah-langkah yang dapat diambil bagai memikirkan musibah ini berlaku kepada keluarga sendiri.

“Saya juga memuji pihak pengurusan pusat penempatan sementara (PPS) di seluruh negara kerana menjaga kebersihan dengan baik dan telah memberi yang terbaik untuk menjamin keselesaan semua.

“Terima kasih saya ucapkan, saya sangat menghargai segala penat lelah dan kudrat semua yang terlibat,” ucap Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat