Ketika Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi Dewan Undangan Negeri Melaka, semua mata tertumpu kepada DUN Sungai Udang yang menyaksikan BN tewas kepada Perikatan Nasional.
Ini merupakan kerusi pertama dimenangi atas logo PN di Semenanjung. Kemenangan PN ini agak mengejutkan ketika ramai beranggapan ia adalah pertarungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini pada 2018, BN menang di DUN Sungai Udang dengan majoriti 2,229 undi. Pada ketika itu, Idris Haron sebagai Ketua Menteri Melaka mendapat undi 10,073 mengalahkan calon PKR Mohd Lokman Abdul Ghani yang mendapat 7,844 undi.
Kali ini calon BN yang juga merupakan Ketua Umno Tangga Batu, Datuk Seri Ali Muhammad telah kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr. Mohd. Aleef Yusofdengan majoriti 471 undi.
Mohamad Ali mendapat 6259 undi berbanding lawannya dari Mohd Aleef yang mendapat 6,789 undi. Manakala Pakatan Harapan hanya mampu mendapat 2635 undi, hilang lebih separuh daripada undi tahun 2018. Secara kasarnya BN dan PH kehilangan lebih 3 ribu undi dalam PRN kali ini memberi laluan kepada muka baharu parti PN memenanginya.
Kekalahan BN
Antara tundingan jari utama dalam kekalahan DUN ini ialah undi tentera. Sungai Udang mempunyai jumlah pengundi awal tentera dan polis antara tertinggi dalam PRN Melaka. Seramai 9,574 pengundi awal termasuk sembilan anggota polis dan pasangan direkodkan di DUN Sungai Udang dari jumlah keseluruhan 22,793 pengundi.
Sebahagian besar undi awal tertumpu kepada peti undi dalam Kem Terendak dan Kem Sungai Udang yang melibatkan 7532 pengundi.
Daripada jumlah tersebut BN dan PN mendapat undi yang sangat signifikan. PN mendapat 3976 undi, manakala calon BN mendapat 2831 undi. Manakala PH hanya menerima 396 undi, bebas 250 dan undi rosak 79. PN menang dengan majoriti 1,145 undi di peti undi tentera ini.
Kekalahan lebih seribu undi di peti undi tentera ini tentulah menimbulkan tanda tanya kerana Kementerian ini diketuai oleh Umno sejak 2020 melalui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.
Namun undi tentera bukan lagi jaminan melalui kerajaan yang memerintah. Dalam PRU-14, Kerajaan BN hilang banyak sokongan pengundi tentera akibat isu-isu nasional. Ini menyebabkan beberapa Parlimen yang mempunyai undi tentera yang signifikan seperti di Sepanggar dan Putatan (Sabah), Port Dickson (Negeri Sembilan), Tangga Batu (Melaka) dimenangi parti pembangkang.
Namun sokongan tentera kepada parti pemerintah tampak kembali dalam PRN Melaka. apabila jumlah undi kepada PH sangat sedikit. Namun kerana dua parti dalam kerajaan sekarang bertanding, undi telah terpecah kepada BN dan PN.
Walapun tidak boleh mengadakan kempen terbuka, dua kali Menteri Pertahanan, Hishammuddin Tun Husien turun ke DUN Sungai Udang dan menunjukkan sokongan kepada calon BN, Mohamad Ali, Ini sekaligus memberi isyarat ke arah mana kecenderungan Menteri Pertahanan tersebut.
Namun kesedaran politik dalam tentera sudah jauh lebih terbuka. Kehadiran media sosial dan online menjadikan mereka lebih terbuka memberi undi dan membuat pilihan seperti mana PRU-14 lalu.
Kejayaan PN meraih begitu banyak undi tentera mungkin berkaitan dengan kesedaran dan penghargaan kepada Muhyiddin yang menguruskan Pelan Pemulihan Negara sejak Covid-19 melanda Malaysia.
Berlainan dengan rakyat biasa dan ahli politik partisan, anggota tentera sebagai barisan hadapan keselamatan negara melihat dari neraca lain sumbangan dan peranan Muhyiddin dalam mengendalikan negara ketika pandemik.
Faktor lain
Selebihnya kekalahan di DUN Sungai Udang bukan sekadar berkisar undi tentera. Faktor pertelagahan Ali dan Idris Haron dalam Umno bahagian sejak 2018 sehingga saat Idris dipecat turut menjadi punca kekalahan.
Sebagai bekas Adun Sungai Udang, bekas Ketua Menteri Melaka dan bekas Ketua Umno Bahagian terbabit, Idris sedikit sebanyak mempunyai penyokong setia yang mungkin telah memberi undi kepada pihak lawan.
Pertukaran kawasan Mohamad Ali dari Pantai Kundor kepada Sungai Udang pada saat akhir juga perlu diperhalusi. Sejak pembubaran DUN, Mohamad Ali bekerja keras di Pantai Kundor. Papan iklan gergasi wajah Mohamad Ali juga dipasang sekitar Pantai Kundor.