Bila, itu persoalan yang kerap bermain di minda rakyat, tidak kurang terpacul mulut di kala ini. Rasa ingin bebas seperti dulu membuak akibat hampir 2 tahun terpenjara dengan SOP Covid.
Hampir semua kegiatan di setiap sector dan industri terhenti, namun peralihan fasa ke peringkat seterusnya menyaksikan sesuatu yang positif sedang berlaku di negara ini.
Pun begitu, soalan yang sama masih lagi menjadi perbualan, bila negara akan bebas sepenuhnya dari COVID-19?
Umum sentiasa menantikan peralihan fasa, atau lebih tepat FASA 4 di dalam Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan banyak sektor dan industri dibuka, sekaligus menawarkan “kebebasan” untuk menikmati hidup seperti pada ketika COVID-19 tidak wujud.
Apa yang rakyat perlu tahu, peralihan fasa ini tidak bersifat mutlak, kerana pada bila-bila masa sahaja ia boleh kembali kepada satu situasi yang tidak digemari; ‘lockdown’.
Peralihan fasa ini sebenarnya berlandaskan 3 Indikator Utama yang terkandung di dalam Pelan Pemulihan Negara iaitu kes harian, penggunaan ICU dan populasi dewasa divaksinisasi.
Kes Harian
Indikator pertama ini memfokuskan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian. Keupayaan untuk melandaikan lekuk jangkitan akan membuatkan peralihan ke fasa 4 lebih cepat.
Penggunaan ICU
Keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) adalah indicator kedua. Berhadapan dengan ‘musuh yang tidak kelihatan’, sistem kesihatan menjadi benteng kepada serangan bertali arus COVID-19. Dikhuatiri, jika benteng ini tumbang, maka tumbanglah negara. Begitulah signifikan dan pentingnya barisan hadapan negara ini.
Populasi Dewasa Divaksinisasi
Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) adalah usaha agresif dari kerajaan dalam usaha untuk mencapai imuniti kelompok. Menurut World Health Organisation (WHO), imunisasi kelompok merujuk kepada 60% – 80% tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia telah mencapai 95.6% populasi dewasa yang telah divaksin dan program vaksin untuk remaja sedang berjalan.
3 Indikator utama seperti diatas menjadi penentu peralihan dari Fasa 1 sehinggalah Fasa 4.
Persoalannya, bila kita akan bebas sepenuhnya dari COVID-19? Atau, apakah kita dapatkan membebaskan diri dari si Corona ini?
Sejujurnya, tiada siapa yang dapat memberi jawapan tepat tentang persoalan bilakah kita akan membebaskan diri dari pandemik COVID-19. Malah, Tedros Adhanom, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ketika ditanya soalan yang sama, gagal menjawab secara tepat bilakah pandemic ini dijangka akan berakhir, mestipun terdapat pendapat pakar yang menjangka ianya akan berakhir pada Tahun 2022.
Oleh yang demikian, kita harus membina inisiatif sendiri, berdasarkan hasil-hasil kajian dari dalam dan luar negara, untuk menentukan apakah cara terbaik bagi menangani cabaran wabak COVID-19 ini.
3 indikator utama yang diperkenalkan oleh kerajaan di dalam Pelan Pemulihan Negara harus difahami oleh rakyat Malaysia, bahawa kepatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard COVID-19 seperti penggunaan MySejahtera, topeng muka, jaga jarak 1 meter adalah perlu.
Kepatuhan ini akan melandaikan lekuk jangkitan, sekaligus membolehkan banyak industri dan sector dibuka. Peralihan fasa sudah tentu akan merancakkan sector ekonomi, apatah lagi disokong oleh inisiatif-inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dan perniagaan.
Pelan Pemulihan Negara tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata. Kejayaaan Pelan Pemulihan Negara memerlukan kerjasama dari semua pihak; kerajaan, swasta, dan rakyat.