Ketua Armada Bersatu Pertahan Cadangan Supaya BNM Cetak Lebih Banyak Duit

- Advertisement -

PETALING JAYA – Ketua Pemuda PPBM Wan Ahmad Fayhsal menggesa pihak berkenaan tidak bingkas mengkritik saranannya agar Bank Negara Malaysia (BNM) ‘mencetak duit’ untuk membantu rakyat Malaysia mengharungi krisis ekonomi akibat wabak Covid-19.

Beliau berkata ungkapan ‘cetak duit’ itu tidak harus difahami secara literal tetapi di lihat dalam konteks lebih luas iaitu menyediakan mekanisme dan dasar untuk menghasilkan dana khusus bagi merangsang ekonomi rakyat.

“Saya setuju bahawa jika kita betul-betul cetak lebih banyak duit secara literal, akan ada risiko seperti hiperinflasi, harga naik berganda- ganda. Ada juga yang berpendapat bahawa hanya Amerika Syarikat boleh cetak duit sebab dolar AS ialah matawang rizab antarabangsa,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Wan Fayhsal berkata ungkapan ‘cetak duit’ harus menjurus kepada peranan lebih cergas oleh Bank Negara Malaysia dan institusi berkaitan dalam membantu kerajaan memastikan pembiayaian secukupnya untuk program membantu rakyat.

Menurut beliau, ini sudah pun dilakukan di negara barat.

“Contohnya, Bank Pusat Eropah (ECB) dan beberapa bank pusat lain yang sudah mulakan ‘quantitative easing’ yang juga dirujuk sebagai satu kaedah ‘cetak duit’.

“Bank of England pula sudah mulakan pembiayaan monetari secara langsung kepada kerajaan United Kingdom sejak Mac-April tahun ini, tambah Wan Fayhsal, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Beliau yakin Malaysia tidak akan menanggung risiko ekonomi jika Bank Negara turut mengambil langkah-langkah ‘cetak duit’ sedemikian.

“Ekonomi kita sudah meleset, maka ‘cetak duit’ (dalam erti kata lebih luas), tidak menyebabkan inflasi atau masalah ekonomi lainnya. Dalam keadaan luar biasa seperti ini, penyelesaian yang luar biasa pun perlu dipertimbangkan,” kata beliau.

Wan Fayhsal berkata tokoh ekonomi tempatan seperti Prof K.S. Jomo sendiri menyarankan kerajaan menjual bon secara langsung kepada BNM. Kaedah ini dinamakan pembiayaan monetari secara langsung untuk membantu rakyat keperluan, katanya.

Wan Fayhsal berkata ‘duit cetak’ yang diwujudkan menerusi kaedah-kaedah yang disarankan oleh pakar ekonomi tempatan dan diamalkan di negara lain berupaya menyediakan suntikan dana besar-besaran untuk memulihkan ekonomi dan membela rakyat.

Wan Fayhsal berkata cadangan ‘cetak duit’ oleh beliau bertujuan menangani realiti sektor perbankan dikatakan semakin kedekut, terlalu berhati-hati dan lebih gemar memberi pinjaman kepada syarikat besar atau orang kaya.

“Sementara itu, orang kebanyakan dan perniagaan kecil yang tiada harta untuk dibuat cagaran tidak layak untuk dapat pinjaman,” tambahnya.

Beliau akur bahawa ‘cetak duit’ mengikut acuan ‘Quantitative easing’ juga boleh menyebabkan harga aset dan barangan lain naik mendadak dan mencetuskan inflasi, sekali gus menjejaskan golongan miskin.

“Namun, (untuk mengelakkan ini) kerajaan boleh boleh buat suntikan secara langsung kepada rakyat terutamanya dalam kumpulan B40 dan M40 yang tersepit akibat wabak, terutamanya pelajar, anak muda dan keluarga mereka, ibu tunggal dan warga emas.

“Kita juga harus bantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS atau SME) yang mungkin sudah tidak mampu nak bayar gaji pekerja. 70% daripada pekerja Malaysia bekerja di SME,” katanya.

Wan Fayhsal akur cadangan “cetak duit” yang dilontarkannya beberapa hari lalu, mungkin tidak diperjelaskan secukupnya, lalu mengundang pelbagai kritikan dan ejekan.

“Saya berharap agar perbincangan kita boleh ditumpukan ke arah mencari penyelesaian yang lebih baik untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan,” kata beliau. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat