Berkarya perlu ikut acuan Timur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, gelagat kurang sopan seorang penyanyi lelaki di pentas konsert dan satu lagi kes kumpulan muzik tampil dengan imej kurang sesuai ketika beraksi pada sebuah festival muzik, hangat diperkatakan netizen.

Tindakan artis terbabit dianggap memberi imej tidak baik kepada industri hiburan ketika ramai penggiat seni mula mencari ‘makan’ dengan pembukaan semula sektor ekonomi ini selaras fasa peralihan endemik.

Mendapatkan pandangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berhubung isu itu, beliau bagaimanapun percaya dan yakin artis tempatan berdisiplin tidak akan menimbulkan masalah atau melakukan perkara tidak senonoh.

“Secara umumnya, saya percaya artis di Malaysia sangat faham dan saya berpandangan ramai artis berdisiplin.

“Mereka sendiri tahu jika dilakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan norma masyarakat, netizen akan tegur mereka.

“Jadi, tidak perlu terlalu bimbang. Kita kena beri peluang kepada artis kita beraksi dan mereka sudah tentu akan mengambil kira perkara terbabit,” katanya selepas melancarkan Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Putrajaya, Selasa lalu.

ASA 2022 akan berlangsung dua malam pada 29 dan 30 Oktober ini.

Annuar menasihatkan masyarakat agar tidak mudah melatah dan cepat menjatuhkan hukuman kepada penggiat seni hanya disebabkan segelintir artis yang membuat kesalahan tanpa sengaja.

Namun, pesan Annuar, artis tempatan diberi ruang dan peluang untuk mementaskan karya, perlu mengikut budaya Timur yang diamalkan masyarakat Malaysia.

“Jadi, jangan terlalu paranoid. Usah terlalu menilai, pada masa sama, saya nasihatkan penggiat seni serta artis tempatan berkarya tidak semestinya melanggar tatasusila.

“Kita masih boleh berkarya dalam suasana penuh bertamadun dan beretika tinggi, sesuai dengan acuan negara kita.

“Saya percaya tiada masalah pada artis dan selama saya berada di kementerian ini lebih setahun, saya tidak berdepan masalah artis yang tidak berdisiplin,” katanya.

Annuar melihat ramai artis tempatan cepat menyedari kesilapan, lantas memohon maaf.

Tambahnya, tindakan itu membuktikan artis tempatan mempunyai kesedaran tinggi.

“Ada satu atau dua kes yang mereka tersasul, saya tengok mereka minta maaf awal-awal. Belum sempat saya panggil lagi, mereka sudah mengaku sendiri.

“Maknanya tahap kesedaran mereka sangat baik. Jadi, masyarakat perlu hargai. Kita semua manusia, ada kala kita salah buat penilaian atau buat silap, jangan terlalu besarkan perkara itu.

“Dunia seni ini memang begitu dan kita boleh beri nasihat yang baik. Saya pernah panggil satu atau dua pihak tertentu kerana ada perkara yang tak berapa sesuai dan kita beri nasihat,” katanya.

 

Annuar dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek pada Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Annuar dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek pada Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. – NSTP/Mohd Fadli Hamzah

 

Tambah Annuar, bukan hanya artis yang pernah dipanggil dan ditegur, malah stesen televisyen (TV) tidak terkecuali.

“Stesen TV juga ada terlanggar beberapa perkara. Saya ambil pendekatan untuk panggil mereka dan berbincang dari hati ke hati, supaya kita sama-sama jaga kita.

“Jadi, saya dapati keluarga dunia seni di Malaysia ini dan dunia penyiaran boleh dikatakan cukup bertanggungjawab.

“Saya cukup menghormati semua pihak,” katanya.

Baru-baru ini, heboh diperkatakan tindakan penyanyi, Noh Salleh meludah ketika membuat persembahan di pentas.

Rakaman video aksi Noh tular dalam media sosial dan mendapat kecaman warganet yang mempersoalkan tahap kesihatan mental vokalis Hujan itu.

Selain itu, penampilan kumpulan Dolla dalam sebuah festival muzik, baru-baru ini dipersoalkan.

Busana digayakan Dolla didakwa mencolok mata, malah, dianggap berlebihan berbanding penyanyi bertaraf antarabangsa lain.

Mengulas isu lambakan artis antarabangsa mementaskan konsert di Malaysia hingga dikatakan kurang adil kepada artis tempatan, Annuar berkata, artis tempatan diberikan ruang serta peluang yang sama untuk mengadakan konsert.

“Sebenarnya tiada timbul soal tidak memberi peluang kepada artis tempatan.

“Mereka bebas mengadakan konsert. Setahu saya, ada banyak konsert artis tempatan yang sedang dirancang.

“Jadi, soal konsert artis luar lebih banyak dan apakah menjejaskan artis tempatan, tidak berbangkit.

“Artis tempatan selalu diberi kebebasan untuk mengadakan konsert pada bila-bila masa sahaja.

“Pada masa sama, kita tidak boleh jadi negara yang duduk dalam lingkup kita sendiri dan tidak buka mata kepada industri kreatif global.

“Jadi, jangan risau, kita ada kita ada syarat dan garis panduan yang kita tetapkan sebelum artis luar mengadakan konsert di sini,” katanya.

Annuar juga yakin artis luar negara yang mementaskan konsert di Malaysia tidak akan menimbulkan kontroversi yang membimbangkan.

“Kita faham kebimbangan sesetengah pihak, tetapi mereka perlu faham sistem yang kita laksanakan. Kami ambil kira pandangan mereka.

“Misalnya, ada artis dari sebuah negara yang berdialog dengan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), jadi dia diberi peringatan dan tidak dibenarkan datang,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat