‘Fify dicop pejuang watak tomboy’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penampilannya seperti tomboy, kasar, lasak dan berambut pendek, namun ia bukanlah bermakna pelakon, Fify Azmi, 31, pejuang karakter sedemikian.

Sebelum ini, Fify atau nama sebenar, Nur Afiqah Mohamed Azmi terpaksa mengorbankan rambut demi memenuhi tuntutan watak Zain dalam filem Wira.

Terbaharu, Fify muncul pula menerusi drama Ratu Ten Pin arahan Azman Yahya atau Jinggo dengan membawa watak seorang tomboy bernama Reesz. Gara-gara watak Zain dan Reesz, ramai menyangka Fify adalah pejuang watak wanita karakter kasar serta lasak.

Fify berkata, dia kini mahu membela semula rambut panjang kerana mahu mempelbagai karakter dalam lakonan.

Kongsinya, dia bukanlah kerap ditawarkan watak tomboy sebagaimana persepsi yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya hanya melakonkan dua karakter ini dalam filem dan drama. Saya bukannya pejuang watak tomboy seperti yang disangka.

“Watak Reesz dalam drama Ratu Ten Pin pun diterima tahun ini, selepas filem Wira, kira-kira dua tahun lalu. Jadi, saya tidaklah terlalu kerap membawa watak sedemikian.

“Mungkin saya kelihatan seperti tomboy, tetapi sebagai pelakon, saya mampu melakonkan apa sahaja jenis watak. Malah, saya tidak kisah diberikan watak yang memerlukan penampilan wanita lemah lembut,” katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Ryan Aralyn dan Skuad JPJ itu berkata, dia menganggap tiada masalah untuk seorang pelakon berambut pendek menjayakan watak gadis lemah lembut, selagi mampu menzahirkan lenggok tubuh, percakapan dan penataan gaya.

“Saya juga tiada masalah sekiranya ada tawaran memerlukan saya memakai rambut palsu, tetapi biarlah kelihatan realistik di skrin televisyen (TV). Bukan sahaja pada mata penonton, namun, ia juga untuk kepuasan diri.

“Jujurnya, saya sedang berusaha menyimpan semula rambut panjang. Malah, saya sudah memaklumkan kepada syarikat pengurusan. Manalah tahu ada permintaan untuk saya memotong rambut lagi,” katanya.

 

Fify Azmi bersama produser, Sheila Rusly dan pelakon drama Ratu Ten Pin. - Foto IG Fify Azmi
Fify Azmi bersama produser, Sheila Rusly dan pelakon drama Ratu Ten Pin. – Foto IG Fify Azmi

 

Menerusi drama Ratu Ten Pin, wanita kelahiran Subang Jaya itu berkata, ini kali pertama dalam drama dikehendaki membawakan watak tomboy.

Katanya, walaupun penampilannya kelihatan maskulin, namun bukan mudah membawakan karakter berkenaan. Dia perlu membuat kajian dan pemerhatian terhadap watak yang dibawakan.

“Sebenarnya, ini kali pertama saya diberikan watak tomboy. Dalam filem Wira, saya hanya melakonkan karakter lasak, bukan benar-benar tomboy. Saya terpaksa mengorbankan rambut sekali lagi kerana tuntutan watak Reesz. Apa yang lebih penting, saya dapat memperhalusi dan mendalami watak ini.

“Bukan mudah mahu membawakan watak tomboy, sedangkan saya bukan jenis begitu. Jadi, saya memang melakukan kajian mendalam mengenainya.

“Selain cabaran membawakan watak tomboy, drama Ratu Ten Pin cukup mencabar kerana ia mengisahkan sukan boling. Saya bukan pemain boling.

“Banyak ilmu baharu yang dipelajari mengenai sukan ini. Saya perlu pastikan cara membaling bola, penampilan dan kasut yang sesuai untuk dipakai. Pendek kata, banyak pengorbanan yang dilakukan agar kelihatan profesional,” katanya.

Namun, katanya, dia bersyukur mendapat tunjuk ajar bekas atlet boling bertaraf legenda, Shazlin Zulkifli.

“Beliau membantu saya mendalami teknik bermain sukan boling secara profesional. Malah, saya menggunakan hari cuti untuk berlatih sendiri di pusat boling mengikut kaedah diajar demi memberikan persembahan meyakinkan untuk drama.

“Bukan itu sahaja, saya sanggup menggunakan bajet sendiri dengan membeli set boling termasuk kasut, beg dan banyak keperluan semata-mata bagi mood sebagai pemain boling profesional,” katanya.

Mengulas kerjayanya berikutan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan, Fify berkata, dia sedang menjalani penggambaran untuk drama di TV3.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, penggambaran masih tertangguh, tetapi bersyukur mempunyai wang simpanan untuk menampung kelangsungan hidup.

“Bukan hanya industri seni sahaja terkesan, sebaliknya semua sektor berdepan dengan masalah yang sama. Bagi saya, kita perlu memainkan peranan bagi membantu kerajaan mencegah penularan pandemik COVID-19.

“Selagi COVID-19 masih belum reda, selagi itulah rakyat Malaysia tidak akan hidup dalam suasana seperti dahulu,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat