KUALA LUMPUR, – “Asalkan dia tak tuduh UMNO yang buat. Setiap kali nanti kata ni UMNO punya kerja. UMNO baiklah.”
Reaksi ringkas itu diberikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika diminta mengulas keputusan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026 di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak, di sini, hari ini.
Khaled bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai keputusan tersebut, sebaliknya hanya berharap UMNO tidak dipersalahkan berhubung perkembangan terbaharu melibatkan kedua-dua parti itu.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi satu kenyataan mengumumkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Menurut kenyataan itu, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).



