Ibu Syed Saddiq Dakwa Anak Diberi Tekanan Politik Supaya Sokong Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bahawa bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diberi tekanan politik untuk memberi sokongan kepada kerajaan yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua tahun lepas.

Ibu kepada Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, 62, berkata, beliau merasakan tekanan yang dihadapi anaknya berlaku apabila disoal siasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan tentang pertuduhan yang dihadapi anaknya itu sedang berjalan.

“Secara jujurnya mereka (pegawai SPRM) tidak ada sebut tentang kerajaan ketika siasatan, tetapi mereka telah bercakap dengan saya dalam bentuk gurauan, supaya saya menasihati Syed Saddiq.

“Ketika itu saya terlalu penat dan tertekan dengan siasatan oleh SPRM pada 2020.

“Sebagai seorang ibu, tersentap juga hati saya apabila pegawai SPRM memberitahu saya ‘bukankah lebih baik jika anak saya mengikut sahaja kerajaan yang ada sekarang (kerajaan Perikatan Nasional) supaya saya dan suami tidak disiasat lagi’,” kata Shariffah Mahani.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika disoal balas peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq pada hari pertama perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar itu yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Ketika ditanya Gobind apa yang beliau faham tentang gurauan pegawai SPRM itu, Shariffah Mahani berkata, beliau menganggap anaknya sudah menjadi mangsa politik.

“Sebagai ibu, saya sayangkan anak saya dan mengetahui segala pengorbanannya.

“Apabila anak saya tidak menuruti kehendak politik semasa, beliau sudah menjadi mangsa politik. Syed Saddiq juga ada menasihati kami (saya dan suami) supaya berwaspada dan sentiasa sabar jika disoal siasat SPRM,” katanya.

Sementara itu, bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah Alsagoff berkata, beliau turut mengetahui tentang tekanan politik yang dialami anaknya.

“Jujur saya katakan sokongan kepada Muhyiddin ketika itu (pada 2020) adalah tipis, anak saya juga dianiaya kerana beliau tidak menyokong dan aliran politiknya tidak sehaluan dengan Tan Sri (Muhyiddin).

“Saya berpendapat anak saya disiasat kerana tidak beri sokongan kepada kerajaan ketika itu. Saya tahu anak saya berintegriti tinggi dan saya nasihatkan dia untuk mengekalkan pendiriannya yang jujur,” katanya ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam yang mewakili Syed Saddiq, Haijan Omar.

Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksinya, Syed Abdul Rahman berkata pada 30 Mac 2020, beliau telah menerima panggilan daripada Syed Saddiq menyatakan wang di dalam peti besi telah hilang.

“Ingin saya jelaskan di sini, daripada RM250,000 yang hilang itu, lebih kurang RM70,000 adalah wang saya. Wang tersebut diberikan kepada Syed Saddiq bertujuan untuk renovasi rumah keluarga di Elmina, Shah Alam dan keperluan rumah yang lain.

“Saya tidak tahu sama ada Syed Saddiq ada menerima dana politik daripada mana-mana pihak dan saya hanya mengetahui bahawa sumber pendapatan Syed Saddiq adalah daripada menjadi Ahli Parlimen dan Menteri,” kata saksi pendakwaan kedua itu.

Syed Abdul Rahman juga mengesahkan bahawa beliau tidak mengetahui sama ada Syed Saddiq ada menyimpan wang parti kerana beliau tidak mencampuri urusan kerja anaknya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat