Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Malaysia, melalui inisiatif seperti ASEAN Automotive Institute Alliance, komited kepada membentuk ekosistem mobiliti bersatu yang mempercepatkan inovasi, menyelaraskan piawaian, dan mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai peneraju global dalam pengangkutan generasi baharu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata demikian ketika merasmikan Majlis Flag-Off ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) di Menara MITI, dekat sini pada Khamis.
Beliau berkata AUD 2025 melambangkan kekuatan kolektif rantau ini dalam memajukan mobiliti lestari seiring memperkukuhkan integrasi ekonomi dan pengurusan alam sekitar.
“Inisiatif ini adalah langkah penting ke arah industri automotif yang bersedia untuk masa depan dan membawa manfaat kepada seluruh rantau ini, ”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz berkata AUD 2025 adalah bukti kepada dedikasi MARii dalam memupuk kerjasama serantau dalam mobiliti pintar dan lestari, sejajar dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020).
Menurut beliau, inisiatif ini menyelaraskan infrastruktur EV rentas sempadan, melaraskan rangka kerja kawal selia, dan menarik pelaburan dalam mobiliti lestari.
“Dengan membangunkan rangkaian EV bersepadu berlandaskan dasar dan insentif yang seragam, ASEAN meletakkan diri sebagai peneraju global dalam penggunaan dan inovasi EV, sejajar memanfaatkan kepelbagaian ekosistem automotif bagi mengukuhkan rantaian bekalan serantau dan daya tahan ekonomi, ”katanya.
MARii dalam kenyataannya berkata,
dengan sokongan MITI serta Tourism Malaysia, menandakan permulaan perjalanan sejauh 9,000 kilometer (km)
merentasi 9 negara ASEAN bagi mempromosikan kelestarian di dalam mobiliti.
Menurutnya, AUD 2025 adalah satu inisiatif penting yang menggariskan kepimpinan Malaysia dalam memacu mobiliti hijau, kerjasama rentas sempadan, dan inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara.
Perjalanan ini akan berkemuncak di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang akan berlangsung dari 9 hingga 15 Mei ini di MAEPS, Serdang.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, AUD 2025 mengukuhkan peranan negara dalam meneraju peralihan rantau ini ke arah mobiliti hijau dan pintar.
Menurutnya lagi, Proton e.MAS 7, kenderaan rasmi bagi AUD 2025, melambangkan komitmen Malaysia kepada mobiliti elektrik, menyokong agenda EV negara dan matlamat kelestarian ASEAN secara lebih luas.
Konvoi yang menonjolkan enam Proton e.MAS 7 dan empat kenderaan X Series yang dibawakan oleh PROTON dan PRO-NET, akan melalui dua laluan utama.
“Bagi laluan utara akan bermula di Hanoi, Vietnam, melalui Laos, Kemboja, Thailand, sebelum tiba di Malaysia manakala laluan Selatan pula bermula di Manila, Filipina, melalui Sabah, Brunei, Sarawak, Indonesia, Singapura, sebelum tiba di Malaysia.
“Kedua-dua konvoi akan bertemu di MAS 2025 semasa majlis perasmian, melambangkan komitmen ASEAN terhadap kesalinghubungan rentas sempadan, pengangkutan mesra alam, dan kerjasama ekonomi serantau.
“MAS 2025 adalah acara automotif terbesar Malaysia yang menampilkan pelancaran model baharu, teknologi EV dan enjin pembakaran dalaman (ICE) terkini, pengalaman pemanduan ujian yang mengasyikkan, dan peluang rangkaian industri yang penting,”ujarnya.
“Dengan lapan dewan pameran, acara ini akan menjadi hab dinamik bagi perniagaan, pelaburan, dan perbincangan dasar, memperkukuhkan ekosistem automotif rantau ini di peringkat global.
“Edisi tahun ini juga akan menampilkan wanita dalam Automotif, meraikan perintis wanita dalam industri serta menggalakkan penyertaan yang lebih besar dalam inovasi dan kepimpinan mobiliti.
“Selain itu, Hari Kerjaya & Pendidikan Automotif akan menampilkan pameran kerjaya dan Debat Automotif ASEAN, di mana pasukan universiti terkemuka di rantau ini akan berbahas mengenai masa depan industri ini,”ujarnya lagi.
“Setelah menarik lebih 230,000 pengunjung dalam edisi sebelumnya, MAS 2025 dijangka menarik kehadiran yang lebih besar, mengukuhkan statusnya sebagai acara automotif paling berprestij tahun ini.
“AUD 2025 dan MAS 2025 merupakan visi berani untuk masa depan mobiliti serantau, memperjuangkan inovasi, kelestarian, dan pertumbuhan ekonomi ketika Malaysia menerajui evolusi automotif ASEAN,”tambahnya.
Sebanyak 55 jenama-jenama telah yang menyertai MAS 2025 antaranya, 70mai; Affin Bank; AION; Alien Rider; Ambank; AUDI; Azdome; Bank Rakyat; BMW; Boon Siew Honda; BYD; Chery; Def con5; Dodo mat; Etiqa Motortakaful; Falken Tyres; GAC ; GCW World ; GPsina; GWM; Hong Leong Bank; IrisPro; Indian Motorcycle; dan JAECOO.
Selain itu, JC Car; JETOUR ; JPM; Kawasaki; Kenny Hill Bakers; KTM; Lambretta; Maxtag; MG; MODA; Modenas; Mr Absorber; Nissan; Perodua; PETRONAS; Pecca Leather; Proton; PUNB; Rimbunan Kuasa; RWB; SA Sound Auto; Stanford Tyres; Superlux; Suzuki; Tourism Malaysia; TOYOTA; Trapo; Volkswagen; XPeng; Zeekr; dan Zontes.- SUARA.TV