Rapat jurang pendidikan bandar, luar bandar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif DidikTV KPM dengan sendirinya berupaya merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, apabila pengisian setiap subjek dapat diikuti secara lebih menyeluruh.

Paling penting, ia membolehkan murid di luar bandar dan pedalaman melupakan seketika halangan capaian internet yang membebankan mereka selama ini.

Di Papar, penampilan DidikTV KPM kurang seminggu sebelum peperiksaan besar banyak membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengulang kaji dalam suasana kondusif dan tenang.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar, Safwan Syazwan Mohd Suprey, 18, mendapati nota dan penerangan guru menerusi saluran ntv7 itu mudah dicerna serta diingati.

“Belajar menerusi televisyen memang pengalaman baharu. Saya pernah mendengar kaedah pembelajaran sebegini daripada mereka yang lebih berusia, tetapi sukar untuk saya bayangkan.

“Apabila mengalaminya sendiri, saya dapati ia memang memudahkan.

“Sebagai pelajar Tingkatan Lima, saya memang ke sekolah sebelum ini, tetapi DidikTV KPM banyak membantu saya memahami sesuatu subjek kerana ada yang berbeza cara pengajarannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Katanya, slot dokumentari dan berita mengenai pendidikan turut bermanfaat kerana mempunyai pengisian yang berkait rapat dengan pelajar.

Bapanya, Mohd Suprey Saban, 42, berkata DidikTV KPM merungkai masalah capaian internet di kawasan mereka yang ada kalanya menyukarkan anak belajar dengan lancar, terutama jika perlu membuka pautan video untuk kerja sekolah.

“Itu cabaran kami di kampung dan yang tinggal di luar bandar. Kalau yang tinggal di bandar, talian internet lebih baik dan mudah mengikuti pelajaran.

“Bila anak saya dapat belajar dengan menonton televisyen, ia benar-benar melegakan kami kerana dapat mengurangkan jurang kalau ketinggalan sebelum ini,” katanya.

Di Kota Bharu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Jedok, Tanah Merah, Zakaria Yusoff, 52, mendapati inisiatif DidikTV KPM dapat menangani masalah keciciran pelajar dan merapatkan jurang pendidikan mereka di bandar, luar bandar serta pedalaman.

“Cabaran pendidikan termasuk mendapatkan talian internet hingga ada yang terpaksa mendaki bukit, memanjat pokok dan sebagainya.

“Sebagai guru, DidikTV KPM amat melegakan semua pihak, malah jadual boleh disusun dengan baik supaya tiada pertindihan

“Ibu bapa tak perlu risau, manakala guru boleh meneliti kandungan pengajaran sebagai nilai tambah untuk diseragamkan dengan kelas dalam talian,” katanya.

Pelajar SMK Sultan Yahya Petra 2, Kuala Krai, Muhammad Hafiz Mohd Razali, 13, dari Kampung Pasir Era di sini berkata, DidikTV KPM membantu proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara lebih berkesan.

“Sebagai murid di luar bandar, kemudahan seperti pembelajaran di hadapan televisyen memang memudahkan, manakala kalau ada yang tidak difahami, boleh rujuk dengan cikgu,” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat