NASIONAL ‘Marilah kita bekerjasama dalam menghadapi ribut ini’ – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan terus menggiatkan usaha mengimbangi aspek kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, sentiasa prihatin dan mendengar pandangan serta keluhan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Untuk itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif termasuk pakej rangsangan ekonomi dan terbaharu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Berucap sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina secara dalam talian melalui Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) malam ini, Muhyiddin turut mengajak semua pihak agar tidak berputus asa.

“Ibarat seekor lembu yang sentiasa bertenaga dan bersedia untuk membajak serta berbakti kepada tanah. Seperti kata pepatah, ‘kita tidak dapat mengubah arah angin, tetapi kita dapat menyesuaikan layar supaya sampai ke tempat kita tuju’.

“Kita adalah pelayar kapal kita sendiri dan marilah kita bekerjasama dalam menghadapi ribut ini. Tahun Baharu Cina adalah mengenai kebersamaan, kedamaian, kemakmuran dan kebahagiaan. Saya berdoa agar konsep ini melampaui usia, bangsa, agama dan budaya.

“Saya percaya bahawa Tahun Baharu Cina akan membawa harapan baharu dan pencapaian baharu,” katanya menambah, 2020 adalah tahun yang sukar dan memberi banyak pengajaran buat semua di sebalik pandemik COVID-19 dan Malaysia turut berdepan situasi cukup luar biasa.

Perdana Menteri juga mengakui masyarakat Cina di negara ini banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, merangkumi rantaian industri pelancongan, seni dan budaya yang menjadikan Malaysia destinasi pelancongan menarik dalam kalangan pelancong asing.

“Marilah kita terus memelihara dan memulihara kekayaan warisan seni dan budaya pelbagai kaum yang menjadi aset kebanggaan kita bersama,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyatakan, sambutan perayaan melalui program Majlis Rumah Terbuka anjuran MOTAC yang diadakan setiap tahun, sememangnya menjadi antara wadah perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.

Ia, katanya, bukan saja menghangatkan kemeriahan sambutan perayaan berbilang bangsa, malah turut dapat menzahirkan rasa saling menghormati dan menghargai perbezaan kaum dan budaya di kalangan masyarakat.

“Malaysia ibarat kepelbagaian ramuan dan rasa dalam Yee Sang’ yang penuh berwarna-warni, yang sememangnya terkenal dengan masyarakat majmuk yang menyambut perayaan berbeza setiap tahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata, perkara itu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia yang dapat meraikan bersama-sama setiap perayaan dengan penuh semangat perpaduan dan keharmonian.

“Sambutan Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa tradisi pemberian Angpau untuk anak-anak kecil serta saudara mara yang belum berkahwin. Amalan makan malam bersama ahli keluarga turut menjadi kebiasaan semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

“Memandangkan risiko jangkitan COVID-19 masih wujud dalam komuniti kita, maka saya fikir wajar untuk kita menyesuaikan amalan dan tradisi sambutan perayaan dalam bentuk yang lebih inovatif iaitu menerusi teknologi digital seperti aplikasi e-Angpau,” katanya.

Mengakhiri ucapan, Perdana Menteri mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, khususnya kepada masyarakat Cina di negara ini dengan harapan Tahun Lembu akan membawa rahmat dan tuah yang banyak kepada semua.

“”Saya berharap saudara dan saudari tetap dapat meraikan perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga tersayang. Pertemuan secara fizikal adalah terhad buat masa ini, namun teknologi yang ada pada hari ini harus dimanfaatkan untuk mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

“Ingatlah untuk mematuhi segala garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pada setiap masa,” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat