Projek Pembangunan, Bantuan Tunai Diteruskan, BMT Ditambah – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan mencadangkan Rang Undang-undang ini supaya dibenarkan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan, yang tidak melebihi RM107,718,676,650 yang dianggarkan mustahak, bagi perkhidmatan Kerajaan untuk tempoh 6 bulan yang pertama tahun 2023.

Namun, menurut Perdana Menteri mengambil kira keterbatasan anggaran perbelanjaan sementara ini yang terhad kepada dasar dan komitmen sedia ada kerajaan bagi 6 bulan pertama 2023 terlebih dahulu.

“Apa yang baik akan diteruskan terutamanya inisiatif sedia ada yang memberikan manfaat dan faedah kepada rakyat. Selanjutnya, perbelanjaan lain akan dikaji semula dalam penyediaan pembentangan semula Bajet 2023.

“Anggaran perbelanjaan di bawah RUU ini antaranya merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan
serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

“Begitu juga projek-projek pembangunan yang sedang berjalan perlu diteruskan terutamanya projek pembaikan dan penyelenggaraan seperti sekolah daif, jalan raya, hospital serta klinik kesihatan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dengan isu generasi tercicir ekoran kemelut pandemik yang baru berlalu, Anwar berkata adalah penting untuk mempersiapkan anak-anak dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya.

“Selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan dan pembelian buku teks, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa pada bulan Januari 2023.

“Belia juga memerlukan kelangsungan peluang pekerjaan untuk meraih rezeki. Dengan didorong pelaksanaan program yang mengiktiraf gaji antara RM1,500 hingga RM2,100, Kerajaan akan menyediakan tawaran 50 ribu peluang kerjaya secara kontrak termasuk 35,000 oleh syarikat GLC melalui program MySTEP untuk tahun 2023,” jelas Anwar.

Selari dengan pengumuman awal beliau selaku Perdana Menteri, isu kos sara hidup adalah keutamaan. Maka, adalah penting RUU ini
diluluskan bagi membolehkan penyaluran Bantuan Kebajikan Masyarakat kepada isi rumah miskin, warga emas dan OKU.

“Sukacita juga saya umumkan, bantuan tunai rakyat yang dilaksanakan selama ini akan tetap diteruskan. Insya-Allah bayaran Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 akan disalurkan awal iaitu pada Januari 2023 berbanding Mac pada tahun ini.

“Bayaran Fasa 1 ini akan memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang.

“Saya berharap, penyaluran awal ini membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat pada waktu ini,” katanya.

Anwar memberitahu lagi, kerajaan akan terus memastikan kebajikan para pekebun kecil getah sewaktu musim tengkujuh ini.

“Setakat ini, Kerajaan telahpun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi bulan November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM 600 kepada hampir 320 ribu pekebun kecil getah.

“Sukacita sebagai tambahan, Kerajaan bercadang untuk menyalurkan Bantuan Tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah bagi bulan Januari ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat