Oleh Zihan Zari
SUNGAI UDANG – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Terendak serta tinjauan ke 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) pada Khamis.
Kementerian Pertahanan (MinDef) dalam kenyataannya berkata, Mohamed Khaled telah diberikan taklimat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Leftenan Jeneral Dato’ Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh, berkenaan pembinaan baharu hospital 94 HAT.
Katanya, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan hidup anggota ATM dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa.
Mohamed Khaled melihat kondisi penginapan di RKAT Kem Terendak dan diberikan taklimat berkaitan status senggaraan di situ oleh Pegawai Memerintah Garison Terendak, Leftenan Kolonel, Mohd Fadhil Hassan.
Menurutnya, sejumlah 3,964 unit kediaman untuk warga tentera di Kem Terendak meliputi 252 unit untuk pegawai , 802 unit untuk Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) dan 2,910 unit untuk Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR).
Beliau telah menyerahkan mock cheque peruntukan berjumlah RM 3,165,000.00 kepada Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin, bagi selenggara RKAT Kem Terendak.
Menurut MinDef, simbolik penyerahan peruntukan ini membuktikan pihaknya sentiasa cakna dan komited dalam usaha memelihara kebajikan dan kemaslahatan warga Tentera Darat Malaysia (TDM) .
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyantuni warga Kem Terendak sempena Aidilfitri dan menyampaikan sumbangan dari Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) untuk anak-anak ATM Tahun 1 sesi persekolahan 2024.
Katanya, seramai 240 orang pelajar telah menerima insentif berjumlah RM50 secara one-off yang dikreditkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN Prime).
Inisiatif murni ini akan memastikan anak-anak ATM memiliki akaun simpanan di PTPTN bagi memudahkan urusan pendidikan tinggi mereka pada masa hadapan.
“Selain itu, bantuan kebajikan kepada 10 orang anak anggota tentera yang menghidap penyakit kronik, menerima wang tunai sebanyak RM300 secara one-off dan sumbangan hamper bernilai RM200 daripada TDM, ”tambahnya.
“Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan TDM dalam membantu meringankan beban warga menguruskan kehidupan seharian, ”tambah kenyataan itu lagi.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Hj. Muhammad Huzaimi Sabri dan Panglima 10 Briged (PARA), Mejar Jeneral Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal. – SUARA.TV