Gaji penjawat awam naik, nilai semula RTB dan RM400 juta disalur urus banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara Kerajaan sebanyak RM350.

Selanjutnya kata beliau yang juga Menteri Kewangan, Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 ini juga penting dalam mendepani musibah banjir.

“Meneladani bencana banjir sebelum ini, rakyat tidak boleh lagi diheret dengan kelewatan Kerajaan menghulur bantuan dan pertolongan.

“Jadi adalah penting untuk bertindak proaktif dan menggerakkan usaha segera dalam memastikan pengurusan bencana banjir yang teratur,
segera dan berkesan,” katanya.

Buat masa ini, kata Anwar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah pun disalurkan RM400 juta sebagai kesiapsiagaan awal di kawasan-kawasan banjir.

“Pelbagai agensi kerajaan sudah berada di lapangan bagi mengerakkan jentera untuk membantu rakyat. Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan sumber kewangan tambahan sekiranya perlu bagi memastikan kelancaran pengurusan banjir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyentuh pengumuman beliau mengenai tatakelola projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sebelum ini diperuntukkan sebanyak RM15 bilion.

“Saya difahamkan daripada 39 cadangan projek RTB yang dipohon oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini, sebanyak 28 daripadanya telah diluluskan secara rundingan terus dengan anggaran nilai berjumlah hampir RM14 bilion atau lebih 90 peratus daripada keseluruhan peruntukan.

“Persoalannya, mengapa projek RTB yang besar belanjanya ini diputuskan dalam ruang tatakelola yang tergesa-gesa secara rundingan terus walaupun projek ini sebenarnya ialah projek jangka panjang sehingga 2030.

“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak mempersoalkan kepentingan projek Tebatan Banjir. Yang saya gusar ialah, duit rakyat sebegini banyak, dibelanjakan dengan begitu mudah dan cepat sekali.

“Maka, saya telah meminta Kementerian Kewangan untuk menilai semula proses perolehan yang dipercayai dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM2 bilion yang boleh diagihkan semula untuk kesejahteraan rakyat,” ujar Anwar.

Sementara itu katanya, Kementerian Kewangan bersama Kementerian berkaitan akan memastikan aspek teknikal projek mengambil kira pandangan pakar bagi memastikan perbelanjaan yang besar ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya akan bentangkan semula Belanjawan 2023 pada Februari 2023. Sudah tentu Kerajaan Perpaduan akan membentangkan Belanjawan 2023 yang lebih baik dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi.

“Dalam menangani cabaran kos sara hidup yang kian meningkat,kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar bagi melindungi rakyat susah serta pengusaha kecil dengan mengurangkan ketirisan subsidi kepada golongan mahakaya dan syarikat gergasi yang meraih keuntungan yang banyak.

“Sistem perlindungan sosial juga akan diperkukuh bagi melindungi golongan rentan dan mudah terjejas, termasuk golongan pekerja informal,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat