Polis tumpas sindiket tayang jongkong emas palsu perdaya orang ramai melabur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis membongkar kegiatan satu sindiket penipuan pelaburan yang mempromosi pelaburan tidak wujud menerusi ‘live’ TikTok’ dan menayang jongkong emas tiruan dan mata wang Amerika Syarikat (AS) palsu untuk memperdaya orang ramai.

Kegiatan sindiket itu tumpas selepas polis menyerbu dua premis di sekitar Petaling Jaya yang dijadikan pusat panggilan sindiket berkenaan pada 25 April lalu.

Hasil serbuan, polis menahan lapan warga tempatan terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 43 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pemeriksaan mendapati sindiket terbabit disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan secara dalam talian yang menyasarkan warganegara Malaysia.

Katanya, premis berkenaan dijadikan pusat khidmat pelanggan, selain turut digunakan sebagai pusat pengiklanan dan promosi pelaburan menggunakan aplikasi TikTok.

“Lapan individu yang ditahan berperanan selaku pengarah syarikat, pengurus, moderator, tenaga pengajar, editor dan ‘host live TikTok’.

“Turut dirampas tiga unit CPU, masing-masing tujuh monitor dan komputer riba, telefon bimbit (11), masing-masing satu router, modem wifi dan kamera, satu ikat wang palsu dolar AS dalam bentuk bernilai AS$100 serta 10 replika jongkong emas,” katanya.

Ramli berkata, siasatan mendapati, sindiket ini berperanan mempromosi urus niaga pasaran saham yang didakwa beroperasi di Hong Kong.

“Pelabur yang berminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram dan diajar untuk melakukan urus niaga jual beli saham itu melalui laman sesawang yang diberikan oleh sindiket.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung modus operandi sindiket ini serta jumlah mangsa sindiket ini yang sebenar dan jumlah kerugian. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihak JSJK mendapati kebelakangan ini, pelaburan berasaskan emas mula menjadi pilihan orang ramai berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan mata wang di seluruh dunia.

“Emas dilihat sebagai aset yang stabil kerana nilainya yang terus meningkat sekali gus menjanjikan keuntungan kepada pelabur yang berminat dan fenomena ini diambil kesempatan apabila banyak syarikat pelaburan dilihat mula menawarkan pelaburan berasaskan emas.

“Jika melihat kepada rekod siasatan yang dijalankan oleh pihak polis, kebanyakan skim pelaburan ini akan berakhir dengan penipuan dan kerugian kepada mangsa,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya harga emas terus dalam trend menaik, ramai pelabur akan menjual semula emas untuk mendapatkan keuntungan.

“Pada masa sama, syarikat tidak dapat memenuhi tebusan emas dan ini akan memberi kesan kepada pelabur.

“Justeru, kita berpendapat perlu diwujudkan satu mekanisme yang lebih mantap untuk memantau dan menyelia skim-skim pelaburan yang dianjurkan oleh syarikat khususnya berkaitan pelaburan emas.

“Kita mencadangkan Bank Negara Malaysia menetapkan peraturan yang lebih sesuai dan memastikan semua syarikat pelaburan berasaskan logam berharga seperti emas agar berdaftar dengan pihak mereka,” katanya.

Kata beliau, perkara itu penting bagi menentukan wang yang dilaburkan adalah terjamin, sekali gus mengelakkan kewujudan lebih banyak skim penipuan pelaburan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat